Allah Dekat Dengan Kita.. Maka Pohonlah PadaNya...
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...
Di ambil dari Terjemahan Singkat Tafsir Ibnu Kathir Jilid 1.Diterjemahkan oleh : H. Salim Bahreisy dan H. Said Bahreisy
_______________________________________________________
Ayat 186 Surah al-Baqarah
Firman Allah yang bermaksud :
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (S.Baqarah:186)
Abu Musa al-Asari r.a. berkata, " Ketika kami bersama Nabi S.A.W. dalam perjalanan untuk berperang maka tiap kami mendaki di atas bukit atau turun ke lembah kami bertakbir dengan suara yang lantang, maka Nabi S.A.W. mendekati kami dan bersabda ,"Hai semua manusia, sayangilah dirimu, kalian tidak memanggil kepada yang pekak atau jauh, kalian hanya memanggil Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat, bahkan Tuhan yang kalian panggil itu lebih dekat kepadamu dari leher untamu(kenderaanmu). Hai Abdullah bin Qais sukakah saya ajarkan kepadamu sesuatu kalimat dari perbendaharaan syurga iaitu " Laa haula walla quwwata illa billahi". (HR Bukhari, Muslim, Ahmad)
Anas r.a. mengatakan bahawa Nabi S.A.W. bersabda bahawa Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud :
"Aku selalu mengikuti sangka hambaKu terhadap diriKu dan Aku bersamanya jika ia berdoa kepadaKu" (HR Ahmad)
Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa Nabi S.A.W. bersabda bahawa Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud :
"Aku selalu bersama hambaKu selama ia ingat(berzikir) kepadaKu dan bergerak bibirnya menyebut namaKu"(HR Ahmad)
Kedua-dua hadis qudsi ini sama dengan ayat 128 Surah an-Nahl yang bermaksud
"Sesungguhnya Allah selalu membantu orang yang bertaqwa dan mereka yang berbuat baik".
Begitu juga firman Allah kepada kedua Nabi, Harun dan Musa yang bermaksud :
"Sesungguhnya Aku selalu bersamamu mendengar dan melihat"(S.Thaha:46)
Abu Said al-Khudri r.a. mengatakan bahawa Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
" Tiada seorang Muslim yang berdoa kepada Allah, yang tiada berdosa dan memutuskan hubungan kekeluargaan, melainkan pasti diberi oleh Allah salah satu dari 3 perkara ini : 1) disegerakan permintaannya atau 2) disimpan untuknya di akhirat atau 3) dihindarkan daripadanya kejahatan yang sebesar itu. Sahabat berkata "Jika demikian kami akan memperbanyakkan doa". Jawab Nabi S.A.W., "Pemberian Allah lebih banyak ". (HR Ahmad)
Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
" Selalu diterima doa seorang hamba, selama ia tidak berdoa untuk berbuat dosa atau memutuskan hubungan kerabat (kekeluargaan) dan tidak terburu-buru. Ditanya, "Ya Rasulullah bagaimanakah terburu-buru itu?". Jawab Nabi S.A.W., "Aku telah berdoa dan sudah berdoa, tetapi tidak diterima doaku lalu ia menyesal dan tidak berdoa". (HR Muslim)
Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
" Tiga orang yang tidak ditolak doa mereka: 1) Imam(raja/pemerintah) yang adil 2)Orang yang berpuasa ketika berbuka 3) Doa orang yang dianiaya, Allah mengangkatnya di atas awan pada hari kiamat dan dibuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman "Demi kemuliaanKu pasti Aku bantu kamu walaupun hanya menunggu masa sahaja". (HR Ahmad, at-Tirmidzi, an-Nasai, Ibnu Majah)
____________________________________________________________
P.S: - Marilah kita sama-sama memperbanyakkan doa kerana ini sahajalah kekuatan dan kelebihan yang kita ada berbanding kaum kuffar....
-Maaf di atas kelemahan penulis yang tidak dapat menyediakan ayat al-Quran di dalam bahasa Arab kerana buat masa ini penulis masih tidak mempunyai perisian yang sesuai...InsyaAllah penulis akan cuba mempertingkatkannya lagi di masa hadapan.
wallahua'lam
No comments:
Post a Comment