Thursday, November 20, 2008

Ayah Dalam Kenangan...

"Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama-sama kita" 

maksud Surah Taubah :40

Itu ayat yang pertama ku lihat apabila buku Laa Tahzan (Jangan Bersedih) karangan Dr. Aidh Al-Qarni ku buka. Tulisan tangan yang ditulis oleh ayah itu, seolah-olah memujuk hati kami sekeluarga agar bersabar dengan pemergiannya yang amat berat sekali untuk kami menghadapinya. Namun aku hanya mampu menanggung dan merasa kesedihan pemergian ayah sebagai seorang anak perempuan yang telah berkahwin. Selepas berkahwin, ku punya dua tempat bergantung, suami di sebelah kanan ku dan ayah di sebelah kiriku… Kini ayah telah tiada namun aku masih punya satu lagi dahan untuk ku berpaut. Tapi tidak bagi emak. Sejak pemergian ayah, emaklah insan yang paling sedih. Dia ku lihat sering termenung dan setiap kali melakukan apa sahaja baik makan, kemas rumah, berkebun pasti ada sahaja memori indah bersama ayah diceritakan emak ke padaku… Memori yang amat sukar dilupakan, amat manis sekali…. Dan setiap kali itu jua, pasti ada air hangat yang turun di wajah tua itu… wajah yang terlalu banyak berjasa kepada ku…. Wajah yang kian lesu…

Masih ku ingat waktu di Hospital Ipoh, lebih kurang pukul 3 petang, 4 Syawal 1429H emak meminta izin kepada ayah untuk pulang sebentar kerana sejak dari petang semalam lagi emak di hospital, jadi kami adik-beradik menasihatkan emak untuk pulang berehat di rumah. Semasa emak meminta izin ayah, ayah menginzinkannya dan menghulurkan tangan. Emak bertanya “kenapa abang?”. Ayah cuma menjawab “ Nak salam…” Selepas kejadian itu, emak membatalkan hasratnya untuk pulang dan pukul 5 petang hari yang sama, ayah telah mula nazak…

Pada pukul 7 malam, 4 Syawal 1429H, ayah dimasukkan ke wad HDU (High Density Unit). Ketika itu, ayah telah tidak sedarkan diri. Namun degupan jantung dan nafasnya masih aktif sekitar 125 - 80. Kami sekeluarga menunggu ayah dan bergilir-gilir memasuki wad tersebut. Pada pukul 1.45 pagi, 5 Syawal 1429H aku memohon untuk tidur sebentar di tepi wad bersama suami. Tiba-tiba tepat jam 3.35 pagi aku terjaga dari tidur dan terus masuk ke HDU. Ku lihat di dalamnya ada dua orang abang ku dan ibu masih setia di situ. Aku urut jantung ayah sambil mengucapkan kalimah syahadah ke telinganya. Ku lihat degupan jantung ayah pada alat yang disedikan…..makin perlahan. Dari 60 turun 50 turun 30 dan terus ku lihat nadi ayah telah 0…… Lurus…….Terpacul dari mulutku…. “ Ayah dan takde…”. Kami seolah dipukau. Hanya menenung wajah ayah dan alat itu…. Lama baru kami memanggil nurse yang bertugas…. Emak melarang nurse dari melakukan kejutan elektrik kerana semasa hidup ayah telah menyatakan dia taknak kena kejutan letrik itu. Kami akur dengan kehendak ayah walaupun dalam hati kalau boleh kami ingin lakukan segala-galanya untuk membawa ayah kembali kepada kami…. Namun biarlah roh ayah pergi dengan tenang. Jangan diseksa ia…. Ayah telah kembali ke Rahmatullah pada 5 Syawal 1429H tepat jam 3.45 pagi.

Emak pulang dahulu ke rumah untuk menyiapkan rumah bagi menyambut jenazah. Aku, suami, Abang Aje, Abang Aie, Wan Cik dan Mak Ngah masih di hospital menguruskan hal-hal berkaitan. Alhamdulillah semua berjalan lancar walaupun kebanyakan pekerja bercuti raya namun Allah mudahkan segala urusan. Pada pukul 5 lebih kami bertolak balik ke rumah. Suasana pagi itu tenang sekali, ku ekori jasad kaku ayah… ke kereta jenazah. Aku dan abang sulungku menaiki kereta jenazah…. Ya Allah…. Apa yang berlaku seolah-olah mimpi…. Ayah yang cuma demam panas beberapa hari yang lalu kini telah tiada. Aku cuba memastikan yang ini bukan mimpi…. Ya memang ini bukan mimpi kerana jenazah ayah di depan ku ini amat jelas untuk aku menafikannya….

Kereta jenazah meluncur laju menuju ke rumah ku. Sepanjang perjalanan sayu kedengaran azan Subuh dari masjid-masjid berhampir seolah-olah menyambut kepulangan ayah…. Tiba di rumah, saudara mara telah siap menunggu jenazah. Apabila jenazah ayah diletakkan di atas katil, tiba-tiba terpacul dari mulut Wan Cik.”Eh senyum dia”. Aku terus melihat wajah ayah… Ya Allah…. Ayah sedang tersenyum… amat jelas sekali senyumannya. Mukanya sedikit mengadap ke kanan dan senyum…. Manis sekali… seolah-olah dia begitu gembira untuk kembali…. Itulah pertama kali ku lihat jenazah jelas sekali tersenyum… AllahuAkbar sekali lagi air mata ini tak mampu untuk ku tahan…

Jemaah masjid tiba selepas Subuh dan segala persiapan untuk menguruskan jenazah dibeli. Jemaah menjangkakan untuk solat jenazah jam 11 pagi. Alhamdulillah 10.50 pagi jenazah ayah telah selesai dimandi dan dikafankan…. Sebelum kain kafan ditutup sepenuhnya, kami diberi sedikit ruang waktu untuk melihat ayah buat kali terakhir. Ku cium dahi ayah yang dingin sambil mengucapkan “ Yu sayangkan ayah”. Aku pasti ayah mendengarnya… Walaupun bagi orang lain itu tidak bermakna lagi…. Namun aku tau…. Ayah dengar ape yang aku cakap…. Ayah dengar….

Tiada siapa mampu mengganti tempat ayah…. Dia adalah ayah yang terbaik… anak-anak perempuannya tidak pernah dipukul sejak kecil lagi…. Malah dia tidak akan membenarkan aku untuk tinggal seorang diri di rumah, pasti akan diajaknya aku ikut serta dengannya ke mana sahaja bersama emak… terlalu banyak jasanya untuk dinyatakan di dalam ruangan sempit ini…. Hanya Allah dan aku sahaja yang tahu…. Rindu pada nasihatnya, gurauannya, rendah dirinya, kesabarannya, pendiamnya, gelak tawanya, ceritanya, tegurannya…. Segala-galanya tentang ayah amat aku rindu sekali….

Begitu cepat masa berlalu… Setelah 25 tahun 6 bulan Dia membenarkan aku merasa nyamannya pelukan kasih sayang seorang ayah, sekarang Dia mengambil balik hakNya… tanpa mampu kita sebagai peminjam untuk menahannya…

Ya Allah kerdilnya hambaMu ini di depanMu…. Semasa ayah nazak, aku berada di tepinya… aku ingin sekali ayah terus hidup…. Tapi aku tidak berdaya ya Allah…. Aku tak punya kuasa untuk memberi kesihatan dan nyawa kepada ayah…. Aku lemah ya Allah… Tiada apa yang boleh aku lakukan selain memohon pertolongan dari Mu…. Namun setiap apa yang terjadi pasti itulah yang terbaik…. Dan aku percaya, saat ayah kembali kepada Rabbnya… itulah saat yang paling baik untuk ayah pergi…. Dan kami juga akan mengikut ayah suatu hari nanti…. Tempat yang kekal selamanya… Tiada apa yang perlu dikesalkan… kerana ayah pergi dahulu ke tempat yang kami juga akan pergi ke sana… Kami redha ya Allah dengan takdirMu…. Cuma…. Kami rindukan ayah…. Itu sahaja…. Beri kami kekuatan, kesabaran, dan ketabahan untuk mengharungi hari-hari seterusnya tanpa kasih sayang seorang insan bernama ayah….Ameen ya Robb…

Aku masih ingat lagi semasa aku baru-baru kawin setahun yang lalu, adik iparku pernah bertanya apakah saat yang paling gembira dan saat paling sedih di dalam hidupku?. Bagi aku, seluruh kehidupan ku sejak aku lahir hingga saat itu, semuanya adalah saat gembira ku dan bila ditanya apakah saat paling sedih dalam hidupku…. Agak lama aku berfikir… akhir sekali aku menjawab apabila tok dan opah ku meninggal dunia…. Padahal masa itu, aku terlalu kecik (berumur 4 tahun) untuk memahami kesedihan apabila kehilangan opah dan tok… Namun selain itu, ku rasa hidup ini cukup bahagia…. Dari kecik ku dididik dengan penuh kasih sayang…. Segalanya dipermudahkan Allah…Setiap kali aku masuk belajar pasti ada institusi yang membiayai pengajianku…. Alhamdulillah. Namun jika kini ada orang yang menanyakan perkara sama kepadaku…. Pasti akan aku jawab saat paling sedih di dalam hidupku adalah saat perginya orang yang terlalu banyak berjasa untukku…. Ayah….

Setiap kematian itu, ahli keluargalah yang paling perit untuk melaluinya. Walaupun saudara mara, kawan-kawan merasa sedih juga, namun kesedihan itu pasti tidak akan sama seperti yang dialami ahli keluargnya… Aku juga begitu dulu, jika ada kematian, ya aku sedih, namun selepas itu ia pergi dan kita jarang mengingatinya kembali…. Namun tidak bagi ahli keluarga…. Hanya yang melaluinya sahaja dapat merasa peritnya…. Kita semua akan merasa…. Cuma persoalannya samada sekarang atau suatu hari nanti….

Ayah, terima kasih di atas segala jasa, pengorbanan yang telah ayah lakukan untuk penulis selama ini. Jasa dan pengorbanan tersebut tidak mampu untuk penulis membalasnya. Cuma doa dan ganjaran daripada Allah sahaja yang penulis panjatkan buat ayah…. Semoga ayah tenang di sana…. Tidurlah seperti pengantin di malam pertama… semoga kita akan berjumpa lagi di negara yang kekal abadi…. Yu sayang ayah….




n