Friday, June 12, 2009

Kematian itu benar...

Pada bulan April lepas penulis menerima berita pemergian dua orang sahabat. Sahabat yang penulis maksudkan adalah Head of Department penulis di Pusat Asasi UIA dan seorang lagi adalah sahabat suami penulis semasa sama-sama belajar di Darul Quran dan Mesir dulu. Kedua-duanya terlibat dalam kemalangan dan kedua-duanya juga muda, lingkungan umur 28-32 tahun.


Tersentak dengan berita ini Allah sahaja yang mengetahui. Tak percaya sangat-sangat. Tapi itulah kematian. Ia datang saat kita tak menduganya...Sahabat penulis tu baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat di Pusat Asasi UIA kampus Nilai. Selepas itu dia pergi menunaikan solat di masjid berhampiran dan dalam perjalanan pulang dari masjid itulah dia ditimpa kemalangan. Arwahyarham telah meninggalkan seorang balu, seorang guru di Nilai. Sahabat penulis memang baik, jarang sekali mendengarnya mengata orang, mudah diajak berbincang dan dia sering menjadi orang yang menceriakan department kami... Arwahyarham selalu mengadu pada penulis yang dia teringin sangat nak anak kerana dia telah berkahwin dalam 5-6 tahun namun masih belum dikurniakan zuriat. Ternyata impiannya tidak tercapai sehingga ajalnya. Tapi penulis pasti Allah Maha Mengetahui segalanya. Mungkin ada ganjaran besar untuknya di atas kesabarannya menghadapi ujian tersebut... InsyaAllah...

2/3 hari selepas berita kematian sahabat penulis diterima, penulis dan suami mendapat satu lagi berita pemergian sahabat suami penulis. Apa yang lebih menyayat hati lagi adalah sahabat suami ini baru sahaja pulang dari menyambut kelahiran anak pertamanya di hospital. Beliau sempat mengazankan anaknya itu sebelum kejadian. Penulis tergamam mendengar berita ini kerana yang paling perit untuk menelan berita ini pastilah isterinya... Allahuakbar.... Ujian besar untuknya... Berat mata memandang, lebih berat lagi bahu yang memikul.... Kehilangan suami yang disayangi dalam keadaan masih sakit melahirkan anak, dalam keadaan masih perlukan sokongan dan dakapan erat seorang yang bernama suami....

Penulis tak tahu apa yang ingin diulas. Tak tahu dan tak mampu untuk menyelami perasaan dua isteri yang baru kematian sang suami yang dicintai. Cuma doa penulis agar Allah berikan mereka ketabahan dan kekuatan untuk menempuh dugaan berat ini. Lemahnya kami di sisiMu ya Rabb... Lemahnya kami.... Kami hanya mampu untuk meminjam secebis kasih sayang yang telah kau campakkan ke dalam hati insan-insan yang kami sayangi... Namun kami tak mampu untuk menghalangMu dari mengambil kembali barang yang telah Engkau pinjamkan kepada kami ini... Apa pun semoga dipertemukan semula di sana nanti dalam keadaan yang lebih bahagia selamanya.... Ameeen...

Kesimpulan ringkas dari dua kejadian ini adalah.... Kematian itu adalah benar... Cuma mungkin hari ini bukan masa kita... Namun esok lusa ia pasti tiba jua.... Wallahua'lam...


No comments: