Friday, January 19, 2007

Guruku...

Sedar tak sedar esok kita bakal menjejakkan kaki ke tahun hijrah yang baru... Serasa baru sahaja tahun 1427H datang bertamu...kini ia bakal meninggalkan kita... Namun itulah lumrah alam... Setiap pertemuan pasti ada perpisahan... Setiap permulaan pasti ada penghujungnya dan begitu juga setiap yang hidup pasti akan menemui ajalnya...

Dikesempatan yang terbatas ini, penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan " Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1428H... " Semoga dengan kedatangan tahun baru yang bakal menjelma akan membawa sinar baru kepada hidup kita untuk lebih menghayati Islam.

Tiada apa yang menarik untuk dikongsi buat kali ini.... mungkin kerana sudah agak lama tidak menulis maka idea pun sudah agak berkarat.... Semenjak penulis bekerja begitu terhad masa yang dapat penulis luangkan untuk penulisan maya. Namun insyaAllah jika diberikan Allah kesempatan dan juga masa terluang insyaAllah penulis akan cuba...

Minggu ini masih seperti biasa... Perjalanan seorang yang bernama pendidik... Berhadapan dengan kerenah para pelajar yang kadang kala menghiburkan dan tak kurang juga yang memedihkan hati. Namun itu semua tidak akan mematahkan semangat penulis untuk terus berkongsi ilmu bersama mereka. Bila sudah bergelar pendidik, baru penulis dapat merasakan perasaan seorang guru apabila pelajar-pelajar di hadapan kita tidak mengendahkan apa yang diajar, bila mereka hanya berbual-bual kosong di belakang dan tidak menghiraukan guru yang terjerit-jerit cuba untuk mengambil perhatian si pelajar.

Kadang-kadang penulis terkenang kembali salah seorang guru kesayangan penulis, Cikgu Ahmat Mahmud. Beliau merupakan bekas penolong kanan di sekolah penulis dan juga merangkap guru prep semasa penulis di tingkatan 4 dan 5. Penulis tidak menafikan bahawa Cikgu Ahmat merupakan cikgu yang garang dan tegas. Bayangkan ada seorang kawan penulis dibuang dari kelas prep hanya kerana menguap di dalam kelas semasa dia sedang mengajar... Namun di sebalik ketegasan beliau, tersimpan seribu pengajaran buat penulis...

Semenjak beliau mencadangkan untuk diadakan kelas prep di sekolah, hampir setiap malam beliau akan datang ke sekolah untuk mengajar kami subjek-subjek Sains seperti Kimia, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan juga Fizik. Semua yang dilakukannya adalah secara percuma. Beliau telah banyak mengorbankan waktu malam yang sepatutnya dihabiskan bersama-sama keluarga untuk kami. Sehinggakan anak beliau akan menjawab "rumah ayah di sekolah" apabila ditanya oleh orang berkenaan ayahnya.

Penulis masih ingat lagi kepala penulis pernah diketuk dengan buku rujukan Kimia yang tebalnya 2 inci hanya kerana penulis gagal dalam subjek Kimia dalam satu ujian yang telah diberikan. Bergegar sekejap kepala otak penulis... hehe... Memang malu sangat masa tu... Mana taknya, diketuk di kantin sekolah... Di tengah-tengah pelajar-pelajar yang kebetulan baru tamat sesi persekolahan... Dan satu kelas penulis pernah juga didenda berlari keliling padang sekolah kerana kami gagal memberikan definisi yang tepat untuk JAR= Jisim Atom Relatif. :) Begitu banyak kenangan penulis bersama Cikgu Ahmat...Namun penulis tak pernah marah atau mengherdiknya... Malah kejadian itu penulis ambil sebagai satu titik permulaaan kepada sebuah harapan dan kejayaan. Semenjak itu penulis bertekad untuk mencuba sedaya upaya supaya tidak gagal lagi dalam mana-mana mata pelajaran dan Alhamdulillah dengan bantuan Allah segala urusan penulis telah dipermudahkan...

Pernah suatu ketika semasa penulis ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 4 di sekolah berasrama penuh, Cikgu Ahmat memanggil penulis ke biliknya. Dia memberikan kata-kata semangat kepada penulis dan mengingatkan penulis bahawa "Walau di mana juga kita diletakkan, orang yang hebat akan boleh berjaya... samada di asrama penuh atau di sekolah harian biasa..." Dia juga mengingatkan penulis bahawa " Hidup manusia di dunia ini seperti garisan lurus...Apabila garisan-garisan itu bertemu di antara satu sama lain maka kita akan bertemu... dan seterusnya apabila garisan-garisan itu telah melepasi titik pertemuannya... maka kita akan berpisah untuk meneruskan kehidupan..." Mengapa begitu sukar untuk penulis meninggalkan guru yang seorang ini... akhirnya penulis mengambil keputusan untuk terus bersekolah di sekolah lama penulis...Alhamdulillah keputusan yang penulis buat tidak sia-sia... :)

Raya tahun lepas penulis menghantar kad hari raya buat Cikgu Ahmat dan isteri. Hanya kad ucapan biasa sebagai tanda bahawa penulis masih mengingati jasa cikgu... dan untuk memberi tahu bahawa penulis juga telah mengikuti jejak langkah cikgu... menjadi seorang pendidik...

Namun persoalan yang masih bersarang di dalam fikiran penulis sehingga hari ini... Mampukah penulis merangkak untuk mengikuti setiap pengorbanan yang pernah cikgu berikan kepada penulis dan melaksanakannya kepada pelajar-pelajar penulis sekarang? Satu persoalan yang jawapannya masih jauh dan kelam....

Khas buat Cikgu Ahmat dan semua guru-guru yang pernah mendidik penulis... Rasanya jika jutaan terima kasih sekali pun masih tidak mampu untuk penulis membalas budi baik kalian... Hanya doa yang dapat penulis panjatkan buat kalian. Semoga Allah membalasnya...

Terima Kasih guruku... Jasa kalian tetap penulis kenang....

2 comments:

Anonymous said...

assalam.boleh akak tahu cikgu ahmat mahmud ni org segamat ke.ada hp dia tak?dah lama carik cg ni .

CaHayA SuFi said...

Erm.. saya tak pastila cikgu ahmat asal dr mana tapi tak silap orang johor. Dia pernah study dekat luar negara. Pernah mengajar di Kelantan. Berkahwin dengan ustazah maimunah(juga ustazah penulis). Dia bekas PK sek saya (Sekolah menengah kebangsaan Seri Kampar). Cuma sekarang dia dah jadi guru besar di Sek Men Teknik Lebuh Cator, Ipoh.Kalau akak nak contact, boleh cr no sek tu.