Hidup Harmoni Di Bawah Naungan Islam
Oleh : infotainment_islam@yahoo.com
Sejak beberapa tahun yang lepas, hari-hari perayaan beberapa penganut agama di Malaysia telah jatuh pada tarikh yang sama atau hampir sama. Dari sinilah bermulanya idea `kongsi raya' yang sebelum ini tidak pernah muncul atau diperbincangkan. Dan tahun ini, sekali lagi, dua perayaan masyarakat Malaysia jatuh pada waktu yang hampir sama. Umat Islam menyambut Hari Raya Eidul Fitri dan masyarakat Hindu pula menyambut Perayaan Deepavali. Dua tahun lepas, persoalan `kongsi raya' ini telahpun dijelaskan kedudukannya oleh Jabatan Mufti Negeri Perak yang mengeluarkan fatwa bahawa hukum mencampuradukkan perayaan Islam dengan perayaan kafir adalah haram [http://mufti. perak.gov. my/berita/ berita041022- 2.htm]. Para ulama yang menghadiri satu muzakarah di Ipoh meminta kerajaan mengkaji semula beberapa amalan seperti perayaan kongsi raya dan rumah terbuka bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Muzakarah Ulama 2006 Datuk Seri Harussani Zakaria berkata kajian semula itu perlu kerana Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan bahawa meraikan perayaan agama lain merosakkan akidah dan boleh menjurus kepada perbuatan syirik [Utusan 14/06/06]. Kenyataan Mufti Perak ini juga telah disiarkan di dalam akhbar The Star bertarikh 14 Jun 2006 . Harussani juga meluahkan kebimbangannya tentang ancaman Pluralisme yang ada hubungkait dengan sambutan `kongsi raya' ini.
Baru-baru ini timbul pula isu yang berkaitan dengan perkara yang sama. Sebuah e-mail bertarikh 3 Oktober 2006 telah dikeluarkan oleh Ketua Jabatan Syariah, Syarikat Takaful Malaysia Berhad yang menyeru agar kakitangan Takaful tidak mengucapkan `Selamat Hari Deepavali' kepada individu beragama Hindu. Di dalam e-mailnya, beliau menekankan implikasi ucapan tersebut terhadap akidah seorang Muslim dan keharaman melakukannya. E-mail ini, yang asalnya hanya ditujukan kepada kakitangan Syarikat Takaful, telah tersebar luas dan menimbulkan pelbagai reaksi dari masyarakat. Persatuan Hindu Sangam telah membuat laporan polis mengenainya dan menganggap e-mail ini sebagai satu hasutan. Dalam komennya terhadap isu yang sama, Datuk Seri Samy Vellu menganggap bahawa pandangan seperti ini adalah pandangan ekstremis yang bertujuan untuk menimbulkan kekacauan di negara ini [NST 15/10/06].
Ekoran dari ini, beberapa orang ulama' di Malaysia, termasuklah Datuk Seri Harussani telah membuat kenyataan bahawa mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada seseorang individu bukan Islam diperbolehkan selama mana ucapan selamat tersebut tidak ditujukan kepada `tuhan' individu tersebut [NST 15/10/06]. Perdana Menteri sendiri telah campurtangan dan menyatakan aktiviti kongsi raya yang diamalkan oleh rakyat negara ini tidak mencemar kesucian agama Islam.....ia juga tidak ada langsung membabitkan perlanggaran akidah umat Islam. Beliau berkata, memandangkan kedua-dua perayaan itu disambut dalam tempoh yang hampir antara satu sama lain maka bersama-samalah rakyat Malaysia merayakannya [Utusan 19/10/06].
HUKUM MERAIKAN PERAYAAN AGAMA LAIN
Sekiranya diteliti, kenyataan dan pandangan umum terhadap isu kongsi raya ini banyak disandarkan kepada aspek perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian antara golongan etnik berbeza agama di Malaysia . Sebelum perbincangan mengenai isu ini boleh diteruskan, realiti permasalahan ini perlu difahami terlebih dahulu. Perlu dijelaskan di sini bahawa bagi seorang Muslim, setiap perbuatan kita dipandu sepenuhnya oleh hukum syara' dan adalah haram bagi kita untuk menjadikan rujukan selain Islam (termasuk pendapat yang tidak disandarkan kepada nas) dalam menentukan hukum bagi sesuatu perbuatan itu. Oleh itu, dalam membincangkan persoalan di atas, hanya pandangan dari Islam sahajalah yang wajib dijadikan sebagai rujukan dalam menentukan sikap kita terhadap isu ini.
Apa yang wajib kita fahami adalah, walau apa jua hukum yang datang dari Islam, sekiranya ia merupakan hukum yang diistinbat (diperoleh) melalui kefahaman yang benar dari Al-Quran, Sunnah, Qiyas mahupun Ijma' Sahabat, maka ia pasti akan membawa kemaslahatan dan kesejahteraan kepada umat manusia. Dari itu, sekiranya suatu perbuatan itu `diperbolehkan' atas alasan yang datang dari perspektif pemikiran manusia, tanpa disandarkan kepada nas, seperti pemahaman manusiawi terhadap konsep kemaslahatan, keharmonian dan kesejahteraan, maka ia tidak boleh diterima di dalam Islam. Keharmonian dan kesejahteraan yang hakiki hanyalah dapat diperolehi dengan melakukan sesuatu perbuatan yang selari dengan kehendak Islam, bukannya kehendak manusia.
Meraikan perayaan keagamaan kaum bukan Islam tidak kira samada perayaan tersebut disambut oleh golongan Nasrani, Yahudi atau golongan Musyrikin (seperti Hindu, Buddha, Sikh) adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam. `Meraikan' di sini termasuklah mengucapkan selamat atau pun menghadiri majlis-majlis perayaan keagamaan mereka. Perbuatan ini termasuk sebagai mengiktiraf atau redha kepada agama mereka atau dengan kata lain, redha agar mereka kekal dalam agama mereka dan redha Allah disyirikkan (dijadikan gandingan) oleh mereka. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, "Sesungguhnya deen (yang diredhai) di sisi Allah adalah Islam" [TMQ Ali Imran (3):19] dan di dalam firmanNya yang lain, "Barangsiapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi" [TMQ Ali Imran (3):85].Fahamilah wahai kaum Muslimin bahawa Allah tidak redha kepada mana-mana agama selain Islam. Rasulullah diutus dengan kalimah "La ilaha illallah" (tidak ada Tuhan selain Allah) yang membawa maksud "La ma'buda illallah" (tidak ada Tuhan yang boleh disembah melainkan Allah). Di dalam satu hadis, Rasulullah bersabda "Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucap `La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.. .". [HR Bukhari dan Muslim]. Semenjak Muhammad di angkat oleh Allah menjadi Rasul, maka baginda tidak pernah berhenti mengajak manusia untuk menyembah Allah semata-mata tanpa mensyirikkanNya dengan suatu apa pun. Nabi Sallallahu `alaihi wa Sallam tidak pernah redha terhadap manusia yang menyembah selain Allah dan baginda berusaha berdakwah bersungguh-sungguh agar mereka hanya menyembah Allah yang Satu, walaupun Nabi terpaksa berhadapan dengan penentangan dan penyiksaan yang keras dari golongan musyrikun.
Perlu difahami dengan sejelas-jelasnya bahawa kita umat Islam tidak boleh redha kepada agama selain Islam, kerana Allah sendiri tidak meredhainya. Kita umat Islam tidak boleh redha melihat manusia mempercayai wujudnya tuhan lain (dan menyembah) selain Allah. Allah adalah Tuhan kita, Tuhan bagi semua manusia (termasuk orang-orang kafir) dan Tuhan sekelian alam. Di dalam hal ini, apa yang tidak boleh kita lakukan ialah memaksa mereka untuk memeluk Islam. Tidak boleh memaksa mereka memeluk Islam tidak bermakna kita boleh redha kepada agama mereka atau kita bermusuhan dengan mereka (kecuali kafir yang memerangi Islam). Ia juga tidak bermakna kita melarang mereka merayakan hari agama mereka. Apa yang haram kepada kita adalah memaksa mereka masuk Islam, sebaliknya apa yang wajib kepada kita adalah berdakwah kepada mereka agar masuk Islam. Inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah kepada kita. Kita meyakini bahawa aqidah kita (Islam) adalah satu-satunya aqidah yang benar. Maka kita wajib menerangkan kepada mereka tentang aqidah yang benar ini dan menjelaskan kepada mereka kesalahan aqidah mereka.Wahai kaum Muslimin! Kita haruslah membezakan sambutan keagamaan dan sambutan yang bukan berlandaskan agama. Sambutan Deepavali berbeza dengan sambutan Hari Kemerdekaan atau Tahun Baru. Deepavali adalah `sambutan agama'. Jika kita kaji sejarah disebalik perayaan ini, kita akan dapati bahawa Deepavali (atau Diwali) di sambut kerana memperingati peristiwa Dewa (Tuhan) Krishna yang telah membunuh syaitan (demon) bernama Narakasura. Diriwayatkan bahawa Narakasura adalah pemerintah sebuah negeri yang bernama Pradyoshapuram. Di bawah pemerintahannya, rakyat menderita pelbagai kesusahan. Dia menzalimi rakyatnya dan menculik wanita-wanita dan memenjarakan mereka di istananya. Melihat kejahatannya, maka Dewa (Tuhan) Krishna lalu turun memusnahkannya dan hari pembunuhan/kematian Narakasura ini diraikan sebagai Deepavali, sebagai kemenangan sebuah kebaikan mengatasi kejahatan. Ada juga beberapa riwayat lain tentang asal-usul perayaan Deepavali. Ada yang berpendapat ia diraikan sempena perkahwinan Lakshmi dengan Dewa (Tuhan) Vishnu. Ada juga yang menyatakan hari restu di mana Dewa (Tuhan) Rama kembali ke Ayodhya setelah mengalahkan Ravana dan terdapat beberapa kisah lain lagi. [http://www. abcmalaysia. com/tour_ malaysia/ deepavali. htm]. Inilah kepercayaan penganut Hindu terhadap Deepavali.
Wahai kaum Muslimin, cubalah fikirkan dengan sejernih-jernihnya tentang mengucap selamat atau menghadiri majlis Deepavali. Bukankah ucapan Selamat Menyambut Deepavali bermakna, "Selamat meraikan hari di mana Dewa (Tuhan) Krishna berjaya membunuh syaitan Narakasura" atau "Selamat menyambut hari ulangtahun perkahwinan Lakshmi dengan Dewa (Tuhan) Vishnu"!!! Apakah ini tidak terkait dengan persoalan aqidah? Walaupun kita hanya mengeluarkan ucapan `selamat' kepada `individu' yang beragama Hindu, tetapi terfikirkah kita tentang maksudnya dan kepada `siapakah' ucapan itu pergi? Pernahkan Rasulullah mengucapkan selamat untuk Latta dan Uzza atau kepada penyembah-penyembah nya. Pernahkah Rasulullah mengiktiraf agama penyembah Latta dan Uzza dan meraikan perayaan mereka? Adakah Rasullullah berdiam diri (apatah lagi membenarkan) penyembah-penyembah berhala yang mensyirikkan Allah? Pernahkah Rasulullah berkompromi dengan mana-mana kaum Musyrikin dalam masalah aqidah?
Pernah Abdullah bin Salam dan beberapa sahabat yang lain meminta kepada Rasulullah agar mengizinkan mereka meraikan atau mengagungkan hari kebesaran orang Yahudi (Hari Sabtu) di samping membenci daging dan susu unta. Setelah Rasulullah mendengar permintaan tersebut, maka Rasulullah terus menegur dan memberi peringatan kepada mereka akan keharaman menyertai perayaan seperti itu. Larangan ini dinyatakan dengan jelas oleh junjungan besar kita Muhammad Sallallahu `alaihi wa Sallam dengan sabdanya, "Barangsiapa di kalangan kaum Muslimin yang menyerupai atau meniru perbuatan orang kafir, maka dia itu adalah di kalangan mereka (orang-orang kafir)" [HR Abu Daud, Al-Baihaqi, Ibn Majah dan Ad-Daruquthni]
Huraian di atas menjelaskan kepada kita sikap yang sewajarnya ada pada setiap Muslim dalam menangani isu menyambut perayaan keagamaan kaum kuffar. Ada pendapat yang menyatakan kita harus menerima perbezaan pendapat di dalam amalan kongsi raya ini dan semua pendapat perlu dihormati. Pendapat ini sebenarnya muncul berdasarkan `kompromi' semata-mata untuk menjaga sensitiviti umat Islam dan penganut agama lain. Pendapat sebegini adalah keliru kerana perkara yang dibincangkan di sini adalah melibatkan aqidah, bukan masalah furu' (cabang). Dan (bagi masalah aqidah) jawapan yang ringkas adalah, mesti `satu benar dan satu salah'. Tambahan lagi, hukum yang diperbincangkan di sini adalah halal dan haram, bukannya sunat dan makruh. Rasulullah Sallallahu `alaihi wa Sallam bersabda, "Yang halal itu jelas dan yang haram itu pun jelas dan antara kedua-dua itu ada perkara yang syubhat (samar), maka barangsiapa yang telah menjauhi perkara syubhat tersebut bererti dia telah menjaga agamanya" [HR Bukhari].
Maka oleh itu, janganlah kita mencampur adukkan yang haq dan batil semata-mata kerana tujuan maslahat, yang diukur berdasarkan aqal kita atau aqal manusia lain. Maslahat hanyalah apa yang dikatakan sebagai maslahat oleh Allah. Dengan kata lain, kemaslahatan ini bukanlah ditentukan oleh manusia sebaliknya ia ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai Zat yang Maha Mengetahui yang manakah maslahat untuk hamba-hambaNya. Contohnya, walaupun manusia membenci peperangan kerana (pada pendapat manusia) ia tidak akan mendatangkan maslahat sedikitpun, tetapi ini adalah hukum Allah ke atas umat Islam. Allah-lah satu-satunya Zat Yang Maha Menentukan apakah maksud maslahat dan tugas manusia hanyalah mematuhi perintahNya. Insya Allah, kemaslahatan yang hakiki akan dicapai apabila perintah Allah dipatuhi.
UKURAN SEJAHTERA DAN HARMONI
Kembali kepada persoalan `kesejahteraan dan keharmonian' . Ada yang menganggap bahawa hukum Islam ke atas isu ini langsung tidak membantu dalam mengekalkan `kesejahteraan dan keharmonian' antara kaum di Malaysia dan tidak wajar diberi perhatian. Malah tidak kurang juga yang menganggap bahawa hukum Islam ke atas isu ini boleh merosakkan `kesejahteraan dan keharmonian' sedia ada. Bagi menangani persoalan ini, beberapa perkara yang harus diperhatikan:
Pertama: Keharaman menyambut perayaan orang kafir adalah suatu yang jelas. Sama jelasnya dengan keharaman arak, makan babi, riba dan murtad. Bagi seorang Muslim yang benar-benar mahu menjaga agamanya dan yang takut kepada balasan Allah ke atasnya, keharaman-keharaman ini tidak boleh dikompromi untuk maslahat apa sekalipun. Dan ini merupakan suatu yang seharusnya difahami oleh penganut agama lain. `Keharmonian dan kesejahteraan' hanya akan dapat dikecapi sekiranya umat Islam memahami isu ini dan menjelaskannya kepada penganut agama lain agar menghormati hukum Islam mengenainya. Sebagai contoh, golongan bukan Islam memahami bahawa babi adalah haram ke atas orang Islam dan mereka menghormati hukum Islam dalam hal ini dan tidak pernah timbul soal ketidakharmonian. Begitu juga isu murtad yang sepatutnya tidak akan menjadi suatu 'isu' pun sekiranya masyarakat bukan Islam memahami dan menghormati hukum Islam mengenai isu tersebut dan tidak mempertikaikannya.
Kesejahteraan dan keharmonian juga akan terealisasi sekiranya kaum bukan Islam memahami dan menghormati hakikat bahawa kaum Muslimin tidak boleh menyertai atau mengucap selamat bagi perayaan keagamaan mereka. Hal ini tidak bermakna kita ingin bermusuh dengan mereka atau ingin mewujudkan keadaan yang hura-hara. Keadaan ini sama sebagaimana mereka harus memahami dan menghormati hukum Islam bahawa kita tidak boleh berkahwin dengan mereka (kecuali ahli kitab). Apakah dengan ini Islam dikatakan ekstremis? Ini bukan soal ekstremis atau ingin memecahkan perpaduan. Ini adalah perintah Allah. Apa yang menjadi pegangan kita adalah perintah dan larangan Allah atau halal dan haram. Kita sebagai umat Islam wajib menjelaskan kepada orang kafir bahawa segala hukum Allah mestilah dihormati oleh mereka dan tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa pun dan atas alasan apa sekalipun!!!
Kedua: Apakah `perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan' hanya akan dapat dicapai dengan meraikan perayaan keagamaan kaum kafir? Dan apakah benar bahawa jika tidak mengucap selamat dan menyertai perayaan tersebut ini akan memecahbelahkan `kesatuan dan keharmonian' yang wujud? Apakah dengan tidak menyambut perayaan keagamaan kaum bukan Islam, bermakna umat Islam menolak `keharmonian dan kesejahteraan' hidup berbilang bangsa dan agama? Adakah belasan atau puluhan tahun yang lepas kita hidup dalam kacau bilau kerana tidak pernah berkongsi raya? Bukankah banyak lagi interaksi yang tidak berkaitan dengan perayaan agama boleh dijadikan asas kepada kehidupan penuh 'keharmonian dan kesejahteraan' ? Inilah hasilnya apabila hukum aqal dijadikan panduan, bukannya hukum Allah. Manusia terkeliru dan tersalah di dalam menafsirkan perpaduan dan keharmonian.
Ketiga: Kemaslahatan, yang termasuk di dalamnya perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan antara kaum, dalam bentuk yang hakiki, hanya akan dapat direalisasi sekiranya hukum Allah diterapkan sepenuhnya. Dan dalam aspek ini, hubungan antara kaum Muslimin dan kaum kafir telah digariskan secara menyeluruh dalam Islam. Semua hukum-hakam ini termasuk di dalam hukum bersangkutan dengan Ahlul Zhimmah.
Pemahaman terhadap perkara pertama dan kedua yang telah dibincangkan di atas akan memberikan kepada kita gambaran yang jelas mengenai kekeliruan yang wujud di sekitar hukum kongsi raya dan isu `kesejahteraan dan keharmonian' . Ia juga memberikan gambaran tindakan yang seharusnya di ambil agar penyelesaian `jangka pendek' terhadap isu ini dapat diperolehi supaya masalah ini tidak lagi berulang di masa-masa akan datang. Perkara ketiga, yang merupakan perkara yang wajib kita ambil sepenuhnya, adalah penyelesaian hakiki terhadap masalah ini melalui penerapan hukum Ahlul Zhimmah secara menyeluruh yang pasti akan membawa kesejahteraan yang sebenar-benarnya.
HUKUM MENGENAI AHLUL ZHIMMAH
Daulah Khilafah Islamiyyah secara berkesinambungan telah memerintah selama lebih 1300 tahun dan wilayah kekuasaannya meliputi hampir dua pertiga dunia. Dalam perjalanannya yang cukup lama ini, Islam telah diterima oleh pelbagai kaum dan keadilannya telah dikecapi oleh pelbagai bangsa di dunia ini. Rahsia kejayaan Islam dalam mengembangkan sayapnya ini terletak pada aqidahnya yang benar dan bertepatan dengan fitrah manusia. Kemurnian aqidah Islam mudah diterima oleh pelbagai bangsa. Setelah menganut Islam, mereka bukan setakat meyakini, malah menjadi pengembang aqidah dan Deen ini. Bagi yang kekal dalam kekafiran, mereka membayar jizyah, sebagai ketundukan mereka kepada Daulah Islam dan mereka mengecapi keadilan Islam sebagai warganegara Daulah. Mereka ini digelar sebagai Ahlul Zhimmah atau kadangkala disebut sebagai kafir zhimmi. Asal katanya adalah azh-zhimmah yang bererti al-`ahd atau perjanjian. Islam telah banyak menjelaskan tentang hukum Ahlul Zhimmah. Bahkan ada ulama yang menulis kitab khusus mengenai hukum-hukum Islam yang berkaitan dengan Ahlul Zhimmah. Misalnya Ibn Qayyim al-Jawziyah yang menulis kitab Ahkam Ahlul Zhimmah. Hukum-hukum yang bersangkutan dengan Ahlul Zhimmah merupakan suatu subjek yang luas. Namun di sini kami ketengahkan beberapa hukum utama mengenainya:
(a) Ahlul Zhimmah tidak boleh dipaksa masuk Islam. Rasulullah pernah menulis surat untuk penduduk Yemen , "Siapa sahaja yang beragama Yahudi atau Nasrani, dia tidak boleh dipaksa meninggalkannya dan wajib atasnya jizyah" [HR Abu Ubaid]. Hukum ini berlaku untuk golongan kafir secara umumnya, termasuk yang beragama Hindu, Buddha mahupun Majusi. Mereka bebas menganut aqidah mereka dan menjalankan ibadah menurut keyakinan mereka.
(b) Ahlul Zhimmah wajib membayar jizyah kepada Daulah. Jizyah dipungut dari Ahlul Zhimmah lelaki, baligh dan mampu; Abu Ubaid radhiAllahu `anhu meriwayatkan bahawa Khalifah Umar al-Khattab pernah mengirim surat kepada Amir al-Ajnad bahawa jizyah tidak diwajibkan ke atas perempuan, anak-anak dan mereka yang belum baligh. Bagi yang tidak mampu kerana cacat atau tua, Baitul Mal akan membantu pembayaran jizyah mereka. Pada saat pembayaran jizyah, Negara wajib melakukannya secara baik dan tidak boleh disertai penyiksaan atau kekerasan.
(c) Dibolehkan bagi kaum Muslimin memakan sembelihan dan bagi seorang Muslim untuk menikahi wanita Ahlul Zhimmah jika mereka adalah ahlul-kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani. Ini adalah berdasarkan firman Allah, "Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan al-Kitab halal bagimu dan makanan (sembelihan) kamu halal bagi mereka. Demikian pula wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan dari orang-orang yang diberi al-Kitab sebelum kamu" [TMQ al-Maidah(5) :5]. Namun begitu, jika Ahlul Zhimmah bukannya ahlul kitab, maka sembelihan dan wanita mereka adalah haram bagi seorang Muslim. Sebagai tambahan, adalah haram bagi seorang Muslimah untuk menikahi seorang lelaki ahlul kitab.
(d) Boleh dilakukan muamalah antara kaum Muslimin dengan Ahlul Zhimmah dalam berbagai bentuknya. Ini termasuklah jual beli, sewa menyewa, persyarikatan, pajak gadai dan sebagainya. Rasulullah pernah melakukan muamalah dengan kaum Yahudi di Khaibar di mana kaum Yahudi itu mendapatkan separuh dari hasil kurmanya. Cuma yang perlu diperhatikan di sini adalah bahawa setiap jenis muamalah ini mestilah menurut hukum Islam, bukannya hukum kufur.
(e) Ahlul Zhimmah adalah rakyat Daulah Islamiyyah. Mereka mendapatkan hak sebagaimana rakyat lainnya yang Muslim. Mereka mendapat hak perlindungan, pendidikan, keamanan, kesihatan dan diperlakukan secara baik dalam segala bentuk muamalah. Dilarang menyakiti Ahlu Zhimmah. Kedudukan mereka sama di hadapan penguasa dan hakim. Tidak boleh wujud sebarang perbezaan apa pun antara mereka dengan rakyat yang Muslim, kecuali dalam hal yang telah dijelaskan syara'. Negara Islam wajib berlaku adil kepada mereka sepertimana ia berlaku adil kepada rakyatnya yang Muslim.
Wahai kaum Muslimin! Hukum-hakam ini telah direalisasikan selama 13 abad dan selama itu, kesejahteraan dan keharmonian hakiki telah dikecapi oleh kaum Muslimin dan kafir zhimmi. Pelbagai peristiwa di dalam sejarah telah membuktikan hakikat ini. Ketika kaum Salibiyyin Nasrani ingin menghancurkan kaum Muslimin, mereka mengharapkan dua perkara yang membantu mereka. Salah satu darinya adalah harapan bahawa golongan Nasrani yang tinggal di dalam Daulah akan membantu mereka menghancurkan kaum Muslimin. Namun apa yang berlaku adalah amat memeranjatkan mereka. Golongan Nasrani (yang ada di dalam Daulah) telah bersama-sama dengan kaum Muslimin menentang kaum Salibiyyin. Bagi golongan Nasrani ini, mereka menganggap bahawa Daulah ini adalah tanah tumpah darah mereka, mereka hidup bersama-sama kaum Muslimin dengan kesejahteraan dan keadilan Islam. Mereka yakin hanya Islam sahajalah yang dapat menjamin hak-hak mereka dan mereka benar-benar hidup harmoni bersama kaum Muslimin di bawah naungan Islam. Dalam konteks ini, al-Qurafi menyebut:
`Adalah wajib bagi kaum Muslimin untuk melayan golongan zhimmi dengan kelembutan, membantu golongan fakir antara mereka, memberi makan bagi yang lapar antara mereka, memberi pakaian bagi yang tidak berpakaian antara mereka dan menyeru mereka dengan kata-kata yang baik. Kaum Muslimin juga harus sama-sama menanggung penderitaan jiran ahlul zhimmah mereka, meskipun sekiranya penderitaan itu berjaya diatasi; ini adalah sebahagian dari sifat pengasih yang perlu ada, bukan kerana mengagungkan mereka. Kaum Muslimin juga haruslah memberikan nasihat yang baik dalam setiap urusan kepada mereka, menghalang sesiapapun yang cuba mencederakan mereka serta menjaga harta benda, keluarga dan kemuliaan mereka. Pertahankan juga segala hak mereka dan layanilah mereka dengan penuh kemuliaan dan akhlak yang mulia' [Daulah Islamiyyah, Taqiyuddin An-Nabhani].
Wahai kaum Muslimin! Inilah layanan yang dijanjikan Daulah Islam kepada golongan kafir zhimmi. Banyak lagi catatan-catatan sejarah yang membuktikan kemaslahatan hakiki yang dinikmati oleh orang kafir yang hidup di dalam Daulah Khilafah, termasuklah yang ditulis oleh orang kafir itu sendiri, terutamanya para orientalis. Penerapan kaffah Islam oleh Rasulullah dan para Khalifah sesudahnya benar-benar telah membawa rahmat, keharmonian dan kesejahteraan kepada umat manusia sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Inilah rahmat yang datang dari Zat Yang Mencipta manusia, alam dan kehidupan. Pencipta yang sepatutnya dan sewajibnya disembah oleh semua manusia. Barangsiapa yang menyekutukanNya, maka nerakalah tempat kembali yang paling sesuai untuknya. Rahmat yang telah hilang sejak runtuhnya Daulah Khilafah ini Insya Allah, akan kembali diturunkan olehNya, apabila Khilafah memerintah dunia sekali lagi dan menerapkan segala hukum-hakamNya. Di ketika dan saat itu, manusia akan berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah dan meninggalkan segala kekufuran. Semoga Allah menyegerakan kembalinya hari tersebut kepada kita.
Amin ya Rabbal 'alamin.
No comments:
Post a Comment