Thursday, November 16, 2006

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin Mufti Termuda

Tahniah penulis ucapkan kepada pensyarah penulis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang dipilih kerajaan negeri Perlis untuk memegang jawatan Mufti negeri. Beliau memang dikenali petah berdebat dan berilmu. Beliau menguasai ilmu hadis bahasa Arab dengan baik sekali dan banyak mengetahui fatwa pelbagai mazhab. Tesis karangan beliau di dalam bahasa Arab iaitu Sababul wurud al-hadis (sebab-sebab hadis terjadi) dicetak di Beirut .

Dr Mohd Asri dikenali kerana beliau banyak membuat teguran terhadap penulis kontroversi yang banyak menimbulkan kekeliruan. Kita berdoa agar Dr Mohd Asri dapat berdakwah dengan penuh amanah tanpa ada sebarang kongkongan daripada mana-mana pihak.

_______________________________________________________________

ARAU: Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilantik Mufti Perlis berkuat kuasa 1 November lalu sekali gus menjadi mufti termuda di negara ini.

Beliau yang berumur 35 tahun, ialah pensyarah Pengajian Islam di USM sejak 2003 dan dipinjamkan sebagai Mufti Perlis untuk tempoh dua tahun. Dr Mohd Asri dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Datuk Alim Panglima Mat Jahya Hussin yang kini dilantik Penasihat Agama Perlis, selepas memegang jawatan mufti selama 23 tahun.

Watikah pelantikan Dr Mohd Asri disampaikan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Arau, di sini, semalam. Hadir sama, pegawai tinggi kerajaan negeri termasuk Pegawai Kewangan negeri, Musa Hassan. Mohd Asri, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang, itu adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Perlis tahun ini. Beliau mendapat pendidikan di Kolej Islam Klang sebelum menyambung pelajaran peringkat Sarjana Muda di Universiti Jordan dalam bahasa Arab dan Syariah. Beliau seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana di USM dalam bidang Pengajian Islam dan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Pengajian Hadis. Dr Mohd Asri kemudian memulakan kerjaya sebagai pensyarah di USM pada 2003 sebelum ditawarkan sebagai Mufti Perlis, tetapi pada masa sama masih terikat sebagai kakitangan USM.

Ketika ditemui selepas majlis watikah pelantikan itu, Dr Mohd Asri berkata, dalam tempoh dua tahun ini beliau mahu meningkatkan pembangunan ilmiah dan minda umat Islam di Perlis. Katanya, hanya ilmu pengetahuan dengan fakta yang jelas saja mampu menyelesaikan sesuatu isu yang timbul, sekali gus dapat mengelak timbul salah sangka di kalangan umat Islam. “Ketika ini, ramai tokoh agama yang bercakap dan menyuarakan pandangan dengan bersahaja tanpa fakta lengkap. Jika pandangan itu tidak betul, akan timbul anggapan di kalangan generasi muda bahawa agama itu hanyalah mitos,” katanya. Beliau berkata, perkara itu pernah berlaku terhadap agama Kristian satu masa dulu apabila penganutnya tidak lagi mempercayai kepada institusi gereja.

Dr Mohd Asri berkata, sebagai mufti juga, beliau akan berusaha membebaskan umat Islam daripada kongkongan konservatif yang menjadikan Islam seperti milik golongan tertentu saja. “Sebagai umat Islam, kita perlu kembali kepada fakta dan meninggalkan amalan atau perbuatan konservatif. Kita mesti berubah daripada beragama tanpa sebab kepada beragama secara sedar,” katanya.

No comments: