Friday, October 21, 2011

Dari Hati Seorang Isteri...

Tadi penulis dapat panggilan telefon dari seorang sahabat. Sahabat semasa sekolah rendah…yang telah agak lama tak berjumpa. Cuma sekali sekala berhubung melalui SMS dan panggilan… Sebelum itu, 4-5 bulan sebelum itu sahabat ini ada SMS penulis… SMS yang mulanya biasa bertanya khabar namun akhirnya bertukar ‘luar biasa’. Rupa-rupanya dia ingin meluahkan tentang suaminya ada meminta izin untuk berkahwin satu lagi…

Hmmm… Terdiam sejenak penulis…. Cuba menyelami hati yang sedang terluka…. Allahuakbar. Ujian besar buatmu sahabatku… Apa yang penulis boleh katakan padanya hanya… bersabar… berdoa… dekatkan diri pada Dia… Sebetulnya penulis sendiri takut untuk berkata lebih…. Takut tak sekuat mana apabila diuji…. Nauzubillah…

Selepas SMS itu, agak lama sahabat penulis mendiamkan diri. Cuma kadang-kadang sahaja kami bertanya kabar dan dia ada juga sesekali menyatakan perkembangan diri dan perkahwinannya. Dia mengambil keputusan membenarkan suaminya berkahwin lagi…. Dalam telefon dan SMS dia masih sahabat yang penulis kenal… ceria, jarang menangis…

Namun panggilan telefon baru-baru ini mengubah persepsi itu…. Sahabat ini menghubungi penulis. Pada mulanya nada suaranya ceria… Tapi apabila penulis tanya dia ada di mana… suaranya mula sugul…. Dengan menyatakan dia di rumah mertuanya… hendak menunggu kedatangan sang suami bersama isteri baru… Dia cakap ketiga-tiga kenduri dia dah hadiri… tugas dia dah selesai… Dia nak balik tapi suami dia suruh tunggu di rumah mertua sampai suami dia pulang dari bulan madu… “Sue… aisya(bukan nama sebenar) sedihlah… aisya nak balik… tapi dia taknak hantar… dia suruh tunggu sampai dia habis honeymoon baru balik sekali…”

Penulis menahan sebak… Cuba menjadi kuat untuknya… “Aisya, bincang baik-baik dengan suami, cakaplah Aisya nak balik… hati Aisya pun kena jaga jugak… InsyaAllah suami faham…” Hanya itu yang penulis mampu ucapkan… Sabar wahai sahabat… Allah sedang dekat denganMu….

Beberapa jam selepas itu penulis mendapat panggilan telefon darinya mengatakan suaminya bersetuju untuk menghantarnya pulang keesokan harinya.. Ceria kembali suaranya… Payah benar penulis nak jumpa insan sepertimu… Walaupun sesehari itu dia melihat suaminya ‘berkepit’ dengan perempuan lain dan tiada bersamanya di malam hari…Tatkala wanita moden sekarang hanya meminta diceraikan apabila diberitakan hal ini, engkau masih tabah dan redha diatas ujian ini… Penulis kagum… 

Keesokannya seperti dijanjikan suami Aisya bersama isteri barunya menghantarnya pulang ke rumah… Setelah sampai di rumah… tak lama selepas itu mereka berdua pergi meninggalkan Aisya dan anaknya untuk berbulan madu… Macamana yer rasa duduk dalam kereta sepanjang perjalanan itu? Bagaimana yer menghantar suami dan isteri barunya pergi berbulan madu… Subhanallah… Kuatnya engkau wahai sahabatku….

Lepas habis bulan madu, isteri kedua suaminya telah ikut sekali balik ke rumah mereka. Selama seminggu mereka hidup bersama di bawah satu bumbung. Melihat suami berkepit siang malam dengan isteri kedua. Aisya cakap suami dia sekarang mudah melenting apabila besama dengannya. Hatinya hancur… Pengorbananya sedikit tidak membawa makna pada si suami… Allahuakbar…. Sabar sahabatku… Sabar… Penulis kelu… tiada kata untuk menenangkannya… Cuma mampu menjadi pendengar… sekali sekala menenangkan Aisya yang lebih kerap menangis sekarang ini… 

“Mak jangan sedih yer, Izam akan jaga mak “ Itu kata-kata yang diluahkan anak Aisya tatkala melihat ibunya cuba menyembunyikan air mata dari dilihat anaknya yang seorang itu…

Mengenangkan pengalaman Aisya ini, penulis teringat satu ceramah Ustaz Shamsuri Hj Ahmad. Dia pernah menyentuh tentang poligami. Dia tak menyuruh mahupun melawan. Cuma dinukilkannya lebih kurang begini isinya… “ Para jemaah yang dirahmati Allah Subhanahu wa Taala… Cuba kita kenangkan masa kita mula-mula kawin dulu… Masa tu gaji kita masih kecil… Baru keluar universiti… Masa mula-mula nak hidup bersama isteri… masa tu agak susah… Tak seperti sekarang. Masa tu rumah sewa kecik sahaja… Perabot pun takda… Cuma tidur di atas tilam berkongsi dengan isteri kita… Dia pun masak guna dapur biasa… Kereta pun takda, hanya naik motor bersama…

Masa zaman kita susah tu, dialah isteri kita…. Masa tidur atas tilam tu dialah isteri kita… Masa naik motor tu… dialah isteri kita yang setia di sisi… Dia tak pernah merungut… Maka sanggupkah kita, bila dah berjawatan besar… Maklumlah lama kelamaan kita naik pangkat… naik gaji… rumah besar… kereta besar… Sanggupkah masa dah senang kita lupa kenangan indah itu bersama isteri kita… Itu aje yang saya nak sebut… Fikir banyak kali… Tapi kalau nak jugak dan mampu silakan…. Tiada siapa boleh halang… Hukum tetap hukum…”

Teringat juga penulis tentang kekasih hati Rasulullah SAW. Cara baginda berhadapan dengan kesemua isteri-isteri baginda. Baginda begitu menjaga hati dan sifat cemburu para isteri serta berlaku adil dalam giliran dan juga nafkah… Bahkan baginda tidak meletakkan kesemua isteri baginda di dalam satu rumah sedangkan Nabi bukan seorang yang kaya raya… Namun itulah Nabi… Suri tauladan terbaik…

Teringat penulis suatu kisah sewaktu Rasulullah SAW bersama isteri-isterinya. Salah seorang isteri baginda telah bertanya siapakah di kalangan mereka ini paling disayangi oleh baginda…. Baginda cuma tersenyum dan menjawab “Isteri yang paling aku sayang adalah isteri yang akan aku hadiahkan kepadanya sebentuk cincin apabila tiba giliran bermalam di rumahnya nanti”. Maka para isteri baginda amat berdebar-debar menantikan siapakah yang akan mendapatkan cincin tersebut. Akhirnya apabila tiba giliran bermalam setiap isteri baginda, baginda telah menghadiahkan setiap seorang daripada mereka sebentuk cincin tanpa diketahui oleh isteri-isteri yang lain. Kesemua isteri baginda tersenyum lebar kerana menyangkakan dialah yang paling disayangi Rasulullah… 

Tak terjangkau oleh kita keadilan dan cara baginda menjaga hati para isteri baginda… Subhanallah cantik benar Islam ini… 

Tulisan kali ini hanya cebisan pedoman buat para suami… Ianya datang dari hati seorang yang bergelar isteri… Luahan rasa seorang isteri yang mungkin tak mampu diluahkan kepada suami dek kerana tak mahu meragut kebahagiaan yang sedang dikecapi sang suami… Kadang-kadang bila kita diselubungi kegembiraan, kita lupa pada mereka yang banyak berkorban untuk kita selama ini… 

Buat sahabat yang amat penulis sayang… Terima kasih kerana sudi berkongsi bersama penulis… Didiklah anakmu baik-baik… InsyaAllah ganjaran besar atas kesabaranmu ini… menantimu di syurga nanti… Ameen…
--------------------------------------------------------------------------------------
Buat yang bergelar suami…
Mungkin dia tak secantik yang baru… Tapi mungkin jiwanya lebih cantik…
Mungkin dia tak sekaya yang baru… Tapi mungkin dia kaya dengan budi…
Mungkin dia tak seramping yang baru… Tapi dari rahimnya anakmu dilahirkan…
Mungkin dia tak sebijak yang baru… Tapi dia korbankan hatinya untuk membahagiakanmu…
Manusia boleh berkata tentang hukum…
Tapi mereka tidak boleh menafikan runtunan perasaan di dalam hati...
Bukan perasaan yang perlu didahulukan sehingga mengorbankan hukum…
Cuma… keperitan hati itu jangan diremehkan…
Cukuplah sedikit penghargaan di atas kelukaan hatinya…
Hati yang redha khas untuk membahagiakan insan yang bergelar suami….
Wasalam…

No comments: