Tamparan Buat Si Muda
Semalam penulis berkesempatan bersolat terawikh di salah sebuah masjid di Sungai Dua. Masa penulis tiba, masih tidak begitu ramai jemaah tapi alhamdulillah nak dekat Isyak masjid semakin penuh (walaupun tak sepenuh pada hari pertama Ramadhan).
Penulis terus ke tempat solat wanita sambil mencari-cari ruang untuk menunaikan solat. Mata penulis menangkap ruang lapang di sebelah seorang nenek (penulis agak dalam lingkungan umur 70-85 tahun) yang duduk di saf pertama namun masih kosong. Penulis bersalam dengan nenek itu dan seterusnya mengikut imam bersolat.
Tiada apa yang istimewa atau ganjil berlaku sebenarnya malam itu. Segalanya berjalan lancar seperti malam-malam lain. Namun hati penulis seolah-olah disentuh oleh kehadiran nenek di sebelah penulis ini.
Tamparan buat penulis (yang baru pertengahan 20an ini). Tamparan dan teguran halus yang terus ke hati ini. Ada beberapa perkara yang telah membuatkan penulis malu sekali dengannya... yang telah uzur... yang telah sakit lutut... yang telah kurang ingatannya...
Pertamanya, nenek ini tiba awal ke masjid. Semasa penulis sampai, dia telah duduk di saf pertama. Mukanya kedut seribu begitu juga dengan tangannya. Namun, terawikh masih mampu habis 20 rakaat. Walhal masa rakaat ke-8 ramai anak muda sudah keluar (kadang-kadang termasuklah penulis ni jugak :( ). Nenek ni tanya penulis, "Eh awat ghamai sangat orang pakat balik?". Penulis cakap "Dah 8 rakaat dah tok ". Dia hanya senyum..
Di rakaat ke-10, nenek itu menguit paha penulis. Dia tanya"Bukan tadi tok imam buat 3 rakaat ka?" Penulis jawab" Tak tok, dua rakaat... ".
Di rakaat ke 14 ku lihat nenek ni baru hendak membetulkan kakinya (mungkin lenguh) tapi imam telah mengangkat takbir... Dia dengan nada seloroh berkata kepadaku.." Tok imam dah angkat takbir dah..." Aku hanya tersenyum...
Pada rakaat ke 20 dia bertanya lagi " Dah berapa rakaat ni?" lalu ku balas dengan mengatakan telah habis terawikh cuma tinggal witir 3 rakaat. Dia kata" Tok bukan ingat sangat dah..." " Tak pa..." jawabku ringkas. Dalam hatiku sayu benar dengan jawapannya. Walau telah kurang ingatan namun semangat dan cerminan imannya.... Allahuakbar....
Sebelum rakaat akhir witir nenek tadi bertanya lagi " Ni satu rakaat ni niat witir na?". " Haah tok, 1 rakaat lagi witir". Sebelum keluar masjid, penulis bersalam dengan nenek itu dan dia memperkenalkan anak saudaranya. Rupanya nenek ini datang bersama anak saudaranya malam itu.
Itulah dia. Nenek di masjid al-Falah. Bukan cerita menarik bagi sesetengah orang. Tapi ia merentap jiwa penulis untuk kembali memuhasabah diri ini. Diri yang masih kuat, kudrat yang masih bertenaga, ingatan yang masih segar, lutut yang tidak lenguh, kereta yang boleh membawa ke masjid, suami yang boleh meneman ke masjid. Namun kadang-kadang tewas juga. Tewas dengan tipu daya nafsu... Tewas dengan kemalasan dan keletihan yang hanya alasan yang dibuat-buat untuk menutup kelemahan diri....
Lemahnya diri ini di sisiMu ya Allah...
No comments:
Post a Comment