Thursday, November 20, 2008

Ayah Dalam Kenangan...

"Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama-sama kita" 

maksud Surah Taubah :40

Itu ayat yang pertama ku lihat apabila buku Laa Tahzan (Jangan Bersedih) karangan Dr. Aidh Al-Qarni ku buka. Tulisan tangan yang ditulis oleh ayah itu, seolah-olah memujuk hati kami sekeluarga agar bersabar dengan pemergiannya yang amat berat sekali untuk kami menghadapinya. Namun aku hanya mampu menanggung dan merasa kesedihan pemergian ayah sebagai seorang anak perempuan yang telah berkahwin. Selepas berkahwin, ku punya dua tempat bergantung, suami di sebelah kanan ku dan ayah di sebelah kiriku… Kini ayah telah tiada namun aku masih punya satu lagi dahan untuk ku berpaut. Tapi tidak bagi emak. Sejak pemergian ayah, emaklah insan yang paling sedih. Dia ku lihat sering termenung dan setiap kali melakukan apa sahaja baik makan, kemas rumah, berkebun pasti ada sahaja memori indah bersama ayah diceritakan emak ke padaku… Memori yang amat sukar dilupakan, amat manis sekali…. Dan setiap kali itu jua, pasti ada air hangat yang turun di wajah tua itu… wajah yang terlalu banyak berjasa kepada ku…. Wajah yang kian lesu…

Masih ku ingat waktu di Hospital Ipoh, lebih kurang pukul 3 petang, 4 Syawal 1429H emak meminta izin kepada ayah untuk pulang sebentar kerana sejak dari petang semalam lagi emak di hospital, jadi kami adik-beradik menasihatkan emak untuk pulang berehat di rumah. Semasa emak meminta izin ayah, ayah menginzinkannya dan menghulurkan tangan. Emak bertanya “kenapa abang?”. Ayah cuma menjawab “ Nak salam…” Selepas kejadian itu, emak membatalkan hasratnya untuk pulang dan pukul 5 petang hari yang sama, ayah telah mula nazak…

Pada pukul 7 malam, 4 Syawal 1429H, ayah dimasukkan ke wad HDU (High Density Unit). Ketika itu, ayah telah tidak sedarkan diri. Namun degupan jantung dan nafasnya masih aktif sekitar 125 - 80. Kami sekeluarga menunggu ayah dan bergilir-gilir memasuki wad tersebut. Pada pukul 1.45 pagi, 5 Syawal 1429H aku memohon untuk tidur sebentar di tepi wad bersama suami. Tiba-tiba tepat jam 3.35 pagi aku terjaga dari tidur dan terus masuk ke HDU. Ku lihat di dalamnya ada dua orang abang ku dan ibu masih setia di situ. Aku urut jantung ayah sambil mengucapkan kalimah syahadah ke telinganya. Ku lihat degupan jantung ayah pada alat yang disedikan…..makin perlahan. Dari 60 turun 50 turun 30 dan terus ku lihat nadi ayah telah 0…… Lurus…….Terpacul dari mulutku…. “ Ayah dan takde…”. Kami seolah dipukau. Hanya menenung wajah ayah dan alat itu…. Lama baru kami memanggil nurse yang bertugas…. Emak melarang nurse dari melakukan kejutan elektrik kerana semasa hidup ayah telah menyatakan dia taknak kena kejutan letrik itu. Kami akur dengan kehendak ayah walaupun dalam hati kalau boleh kami ingin lakukan segala-galanya untuk membawa ayah kembali kepada kami…. Namun biarlah roh ayah pergi dengan tenang. Jangan diseksa ia…. Ayah telah kembali ke Rahmatullah pada 5 Syawal 1429H tepat jam 3.45 pagi.

Emak pulang dahulu ke rumah untuk menyiapkan rumah bagi menyambut jenazah. Aku, suami, Abang Aje, Abang Aie, Wan Cik dan Mak Ngah masih di hospital menguruskan hal-hal berkaitan. Alhamdulillah semua berjalan lancar walaupun kebanyakan pekerja bercuti raya namun Allah mudahkan segala urusan. Pada pukul 5 lebih kami bertolak balik ke rumah. Suasana pagi itu tenang sekali, ku ekori jasad kaku ayah… ke kereta jenazah. Aku dan abang sulungku menaiki kereta jenazah…. Ya Allah…. Apa yang berlaku seolah-olah mimpi…. Ayah yang cuma demam panas beberapa hari yang lalu kini telah tiada. Aku cuba memastikan yang ini bukan mimpi…. Ya memang ini bukan mimpi kerana jenazah ayah di depan ku ini amat jelas untuk aku menafikannya….

Kereta jenazah meluncur laju menuju ke rumah ku. Sepanjang perjalanan sayu kedengaran azan Subuh dari masjid-masjid berhampir seolah-olah menyambut kepulangan ayah…. Tiba di rumah, saudara mara telah siap menunggu jenazah. Apabila jenazah ayah diletakkan di atas katil, tiba-tiba terpacul dari mulut Wan Cik.”Eh senyum dia”. Aku terus melihat wajah ayah… Ya Allah…. Ayah sedang tersenyum… amat jelas sekali senyumannya. Mukanya sedikit mengadap ke kanan dan senyum…. Manis sekali… seolah-olah dia begitu gembira untuk kembali…. Itulah pertama kali ku lihat jenazah jelas sekali tersenyum… AllahuAkbar sekali lagi air mata ini tak mampu untuk ku tahan…

Jemaah masjid tiba selepas Subuh dan segala persiapan untuk menguruskan jenazah dibeli. Jemaah menjangkakan untuk solat jenazah jam 11 pagi. Alhamdulillah 10.50 pagi jenazah ayah telah selesai dimandi dan dikafankan…. Sebelum kain kafan ditutup sepenuhnya, kami diberi sedikit ruang waktu untuk melihat ayah buat kali terakhir. Ku cium dahi ayah yang dingin sambil mengucapkan “ Yu sayangkan ayah”. Aku pasti ayah mendengarnya… Walaupun bagi orang lain itu tidak bermakna lagi…. Namun aku tau…. Ayah dengar ape yang aku cakap…. Ayah dengar….

Tiada siapa mampu mengganti tempat ayah…. Dia adalah ayah yang terbaik… anak-anak perempuannya tidak pernah dipukul sejak kecil lagi…. Malah dia tidak akan membenarkan aku untuk tinggal seorang diri di rumah, pasti akan diajaknya aku ikut serta dengannya ke mana sahaja bersama emak… terlalu banyak jasanya untuk dinyatakan di dalam ruangan sempit ini…. Hanya Allah dan aku sahaja yang tahu…. Rindu pada nasihatnya, gurauannya, rendah dirinya, kesabarannya, pendiamnya, gelak tawanya, ceritanya, tegurannya…. Segala-galanya tentang ayah amat aku rindu sekali….

Begitu cepat masa berlalu… Setelah 25 tahun 6 bulan Dia membenarkan aku merasa nyamannya pelukan kasih sayang seorang ayah, sekarang Dia mengambil balik hakNya… tanpa mampu kita sebagai peminjam untuk menahannya…

Ya Allah kerdilnya hambaMu ini di depanMu…. Semasa ayah nazak, aku berada di tepinya… aku ingin sekali ayah terus hidup…. Tapi aku tidak berdaya ya Allah…. Aku tak punya kuasa untuk memberi kesihatan dan nyawa kepada ayah…. Aku lemah ya Allah… Tiada apa yang boleh aku lakukan selain memohon pertolongan dari Mu…. Namun setiap apa yang terjadi pasti itulah yang terbaik…. Dan aku percaya, saat ayah kembali kepada Rabbnya… itulah saat yang paling baik untuk ayah pergi…. Dan kami juga akan mengikut ayah suatu hari nanti…. Tempat yang kekal selamanya… Tiada apa yang perlu dikesalkan… kerana ayah pergi dahulu ke tempat yang kami juga akan pergi ke sana… Kami redha ya Allah dengan takdirMu…. Cuma…. Kami rindukan ayah…. Itu sahaja…. Beri kami kekuatan, kesabaran, dan ketabahan untuk mengharungi hari-hari seterusnya tanpa kasih sayang seorang insan bernama ayah….Ameen ya Robb…

Aku masih ingat lagi semasa aku baru-baru kawin setahun yang lalu, adik iparku pernah bertanya apakah saat yang paling gembira dan saat paling sedih di dalam hidupku?. Bagi aku, seluruh kehidupan ku sejak aku lahir hingga saat itu, semuanya adalah saat gembira ku dan bila ditanya apakah saat paling sedih dalam hidupku…. Agak lama aku berfikir… akhir sekali aku menjawab apabila tok dan opah ku meninggal dunia…. Padahal masa itu, aku terlalu kecik (berumur 4 tahun) untuk memahami kesedihan apabila kehilangan opah dan tok… Namun selain itu, ku rasa hidup ini cukup bahagia…. Dari kecik ku dididik dengan penuh kasih sayang…. Segalanya dipermudahkan Allah…Setiap kali aku masuk belajar pasti ada institusi yang membiayai pengajianku…. Alhamdulillah. Namun jika kini ada orang yang menanyakan perkara sama kepadaku…. Pasti akan aku jawab saat paling sedih di dalam hidupku adalah saat perginya orang yang terlalu banyak berjasa untukku…. Ayah….

Setiap kematian itu, ahli keluargalah yang paling perit untuk melaluinya. Walaupun saudara mara, kawan-kawan merasa sedih juga, namun kesedihan itu pasti tidak akan sama seperti yang dialami ahli keluargnya… Aku juga begitu dulu, jika ada kematian, ya aku sedih, namun selepas itu ia pergi dan kita jarang mengingatinya kembali…. Namun tidak bagi ahli keluarga…. Hanya yang melaluinya sahaja dapat merasa peritnya…. Kita semua akan merasa…. Cuma persoalannya samada sekarang atau suatu hari nanti….

Ayah, terima kasih di atas segala jasa, pengorbanan yang telah ayah lakukan untuk penulis selama ini. Jasa dan pengorbanan tersebut tidak mampu untuk penulis membalasnya. Cuma doa dan ganjaran daripada Allah sahaja yang penulis panjatkan buat ayah…. Semoga ayah tenang di sana…. Tidurlah seperti pengantin di malam pertama… semoga kita akan berjumpa lagi di negara yang kekal abadi…. Yu sayang ayah….




n

Thursday, May 15, 2008

Sabar itukan manis...

HabiyAllah wa ni'mal wakiil...

Cukuplah Allah sebagai penguatku...

Ya Allah berikanlah hambaMu ini kekuatan untuk menempuh ujian ini...

Kadang-kadang tanpa ujian, hidup ini akan lesu dan mengalpakan...

Pabila diberikan ujian yang kadang-kadang rasa amat berat untuk dipikul...masalah yang menyesakkan dada dan hampir kering airmata memikirkannya....

Pada masa itulah kita akan sedar... kerdilnya diri di sisiNya... dan kita kembali merangkak mencari Yang Kekal.... cinta yang kekal abadi... cinta yang tak akan hilang.... takkan menjauh...

Semoga diberikan petunjuk dan dapat membuat keputusan yang terbaik... petunjuk ke arah jalan yang lurus...

Buat suami tersayang... jangan risau tentang diri ini... Allah ada... Allah akan sentiasa berada di sisi kita berdua...insyaAllah... Sabar itukan manis...

Apalah buktinya cinta Allah pada kita melainkan diujinya kita...

Apalah buktinya kita mencintai Allah melainkan redha dengan ujianNya...

Friday, May 09, 2008

Ibu...


By : P. Ramlee



** Please wait awhile for the song to start.

Teristimewa buat ibu penulis, Ani Binti Rahim... yu sayang mak... Terima kasih di atas segalanya... tak terbalas jasamu... Hanya doa ku pohon supaya Allah memberkatimu... menyayangimu seperti mana sayang dan cintanya mak pada yu selama ni....

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Bila ku berduka
Engkau hiburkan selalu

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempat menyatakan kasih
Wahai ibu

Betapa tidak hanya engkaulah
Yang menyniari hidupku
Sepanjang masa engkau berkorban
Tidak putusnya bagai air lalu

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempatku menyerahkan kasih
Wahai ibu

Tuesday, May 06, 2008

Penjelasan Mufti Perlis Berkenaan Jom Heboh




P.S.: Untuk maklumat lanjut sila layari www.drmaza.com

Monday, April 28, 2008

Mengimbas Kembali di Saat Itu ...

Beberapa hari yang lepas , ibubapa penulis telah berangkat ke tanah suci Mekah dan Madinah untuk menunaikan umrah. Tak tahula mengapa hati ini begitu sebak saat melepaskan mereka pergi. Mungkin ditambah dengan beberapa peristiwa yang berlaku dalam masa yang sama telah menambah kedukaan hati.

InsyaAllah ibubapa penulis akan menghabiskan lebih kurang 3 minggu di sana. Hm.... Rindu sekali hati... Rindu ingin ke sana.... rindu pada mak, ayah... rindu memberi salam pada Rasullulah... Rindu nak menatap Kaabah...



Kota yang dijanjikan kesejahteraan oleh Allah. Kota yang tidak pernah tidur. Walaupun terpaksa berasak-asak untuk masuk ke dalam masjidil haram, namun ianya masih menjadi tempat yang kita ingati dan rindui terutama sekali kepada yang pernah ke sana.Apa istimewanya di sana?
Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata...

Penulis selalu teringat... Selepas menunaikan Solat Subuh, penulis akan duduk di atas tangga mengadap Kaabah... Ya hanya mengadap Kaabah... Ahh... Tenang sekali waktu itu... dan tanpa penulis sedari,airmata laju menuruni pipi... Melihat suasana ribuan manusia mengabdikan diri kepada Rabbnya...Di suatu sudut terlihat sekumpulan manusia khusyuk mendengar tazkirah yang diberikan oleh seorang tuan guru, di sudut yang lain ada yang membaca Al-quran, bersolat, dan tak kurang juga yang menunaikan tawaf...

Burung-burung merpati sesekali dilihat berjalan di atas lantai masjidilharam... namun yang menghairankan penulis tak pernah melihat burung-burung ini membuang najis di dalam tempat suci ini.... Apa yang hendak dihairankan.... burung-burung ini dikawal oleh empunya kota suci ini...

Di situ, walau kita seorang Melayu, Arab, Iran, Afghanistan, Sudan, Rusia, atau dari mana sekali asal kita, namun kita tak rasa dipinggirkan. Kita adalah saudara...

Masih jelas terbayang suasana di sana.... :)

Okla penulis kena balik ni, husband dh tunggu... jumpa lagi di post yang lain... wasalam

Monday, March 10, 2008

Alhamdulillah

Pertama sekali jutaan kesyukuran penulis panjatkan kepada Allah Subhanahuwataala...

Pelbagai peristiwa berlaku dalam bulan Mac ini..yang utamanya sudah tentulah berkenaan dengan Pilihanraya Umum ke 12. Keputusan yang amat memeranjatkan semua pihak baik kerajaan, parti pembangkang malah rakyat sendiri....

Namun apa sekali pun, itu realiti yang perlu kita semua terima.'The Tribe has spoken' bak kata program Survival :D. Rakyat telah bersuara dan memberikan tanda bahawa kami memerlukan sesuatu perubahan. Bukan bencikan kerajaan cuma kadang-kadang kita perlukan kekalahan untuk kita memuhasabah diri. Jika kita sentiasa di atas kita jarang memandang ke bawah.... Mungkin kerana terpesona dek bintang-bintang yang bergemerlapan.... maka terlupa rumput-rumput yang kekeringan di bawah sana....


Apa yang terjadi pasti tersimpan seribu satu hikmah yang Allah sahaja Maha Mengetahuinya... Bagi yang menang.. tahniah... tetapi amanah yang harus dipikul amat berat... maka jalankanlah ia dengan sebaiknya...


Walaupun pelbagai cerita di tempat bilangan undi yang penulis dengar (ada tong yang hampir pukul 11 malam baru tiba, dan tiba-tiba black out di pusat kiraan undi) tetapi semuanya telah berlalu... Jadikan pengajaran... jadikan iktibar...


SPR juga sepatutnya meningkatkan kualiti perkhidmatan kerana memandangkan ia harus menguruskan satu acara yang besar maka bagi penulis persiapannya juga harus begitu teliti kerana terdapat sedikit ketidakyakinan oleh petugas SPR semasa penulis mengundi. Bagi penulis, pegawai SPR perlu diberi taklimat yang secukupnya supaya mereka benar-benar faham apa yang akan mereka lakukan.


Jangan apabila pengundi ingin uji sedikit, terus panik. :D Contoh abang dan ayah penulis telah datang bersama penulis di tempat mengundi, tetapi mereka mengundi di tempat yang berbeza. Mereka hanya ingin memastikan dimanakah tempat mengundi mereka. Tetapi seorang petuas SPR telah memeriksa nama mereka dan terus memberikan kertas saluran tempat undi kepada ayah penulis tanpa memeriksa tempat mengundinya. Tetapi mereka telah mendapati mereka silap kerana kebetulan saluran untuk abang penulis mengundi adalah di saluran 5, tetapi tiada saluran 5 dia tempat mengundi tersebut. Dari situ baru mereka panik.


Bagi penulis perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Pegawai SPR sepatutnya yakin. Jika tempat mengundinya berbeza, maka beritahu perkara tersebut kepada pengundi bukannya panik...

Takpala... iktibar kepada yang lain....Apapun... kepada yang menang ini merupakan ujia dari Allah, kepada yang kalah juga ujian... cuma cara mereka diuji sahaja yang berbeza...


Menyentuh tentang ujian.... kadang-kadang penulis terfikir.... Allah uji setiap dari kita dalam bentuk yang berbeza. Contohnya A diuji lambat dikurniakan cahaya mata, B pula lambat bertemu jodoh, C tidak mendapat kerja yang bagus, D terlalu awal dikurniakan anak sehingga hampir bercerai berai kerana masih belum puas hidup berdua, F masalah kewangan,dll....


Penulis pernah bincang perkara ini dengan suami dan jawapannya cukup ringkas... "Kalau kita masih tak dikurniakan apa yang kita kehendaki, jangan bimbang kerana Allah Maha Mengetahui masa yang sesuai untuk kita menerimanya.... cuma kadang-kadang kita ni kurang sabar...."


Jawapan yang cukup ringkas tapi cukup untuk mengunci kata-kata penulis.... Terima kasih sayang kerana mengingatkan su...


Jadi sebagai rumusannya, jangan risau jika masih belum dikurniakan sesuatu yang sangat-sangat kita kehendaki kerana Dia pasti akan mengurniakannya samada sebagai penyejuk hati di dunia ataupun ganjaran di akhirat insyaAllah...

wallahua'lam...

Tuesday, March 04, 2008

Al-Quran Recitation by a Young Boy

Sekadar berkongsi...Tenang sahaja pabila mendengar bacaan ayat suci Al-Quran dari adik ni... tertib sekali... Kurniaan Allah kepadanya....


Friday, February 29, 2008

Cara Kita Berterima Kasih Kepada Ibu...




KETIKA BERUSIA SETAHUN, IBU SUAPKAN MAKANAN DAN
MANDIKAN KITA. CARA KITA UCAPKAN TERIMA KASIH
KEPADANYA HANYALAH DENGAN MENANGIS SEPANJANG MALAM.

• APABILA BERUSIA 2 TAHUN, IBU MENGAJAR KITA BERMAIN,
KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN LARI SAMBIL KETAWA
TERKEKEH-KEKEH APABILA DIPANGGIL.

• MENJELANG USIA KITA 3 TAHUN, IBU MENYEDIAKAN MAKANAN
DENGAN PENUH RASA KASIH SAYANG, KITA UCAPKAN TERIMA
KASIH DENGAN MENUMPAHKAN MAKANAN KE LANTAI.

• KETIKA BERUSIA 4 TAHUN, IBU MEMBELIKAN SEKOTAK
PENSEL WARNA, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN
MENCONTENG DINDING.

• BERUSIA 5 TAHUN, IBU MEMBELIKAN SEPASANG PAKAIAN
BARU, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN BERGOLEK-GOLEK
DALAM LOPAK KOTOR.

• SETELAH BERUSIA 6 TAHUN, IBU MEMIMPIN TANGAN KITA KE
SEKOLAH, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENJERIT :
"TAK NAK! TAK NAK!"

• APABILA BERUSIA 7 TAHUN, IBU BELIKAN SEBIJI BOLA.
CARA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH IALAH KITA PECAHKAN
CERMIN TINGKAP JIRAN.

• MENJELANG USIA 8 TAHUN, IBU BELIKAN AISKRIM, KITA
UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENGOTORKAN PAKAIAN IBU.

• KETIKA BERUSIA 9 TAHUN, IBU MENGHANTAR KE SEKOLAH,
KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN PONTENG
KELAS.

• BERUSIA 10 TAHUN IBU MENGHABISKAN MASA SEHARI SUNTUK
MENEMANKAN KITA KE MANA SAJA, KITA UCAPKAN TERIMA
KASIH DENGAN TIDAK BERTEGUR SAPA DENGANNYA.

• APABILA BERUSIA 12 TAHUN, IBU MENYURUH MEMBUAT KERJA
SEKOLAH, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENONTON
TELEVISYEN.

• MENJELANG USIA 13 TAHUN, IBU SURUH PAKAI PAKAIAN
YANG MENUTUP AURAT, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH
KEPADANYA DENGAN MEMBERITAHU BAHAWA PAKAIAN ITU TIDAK
SESUAI ZAMAN SEKARANG.

• KETIKA BERUSIA 14 TAHUN, IBU TERPAKSA MENGIKAT PERUT
UNTUK MEMBAYAR WANG PERSEKOLAHAN DAN ASRAMA, KITA
UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN TIDAK MENULIS
SEPUCUK SURAT PUN.

• BERUSIA 15 TAHUN, IBU PULANG DARIPADA KERJA DAN
RINDUKAN PELUKAN DAN CIUMAN, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH
DENGAN MENGUNCI PINTU BILIK.

• MENJELANG USIA 18 TAHUN, IBU MENANGIS GEMBIRA
APABILA MENDAPAT TAHU KITA DITERIMA MASUK KE IPTA,
KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN BERSUKA RIA
BERSAMA KAWAN-KAWAN.

• KETIKA BERUSIA 19 TAHUN, IBU BERSUSAH PAYAH MEMBAYAR
YURAN PENGAJIAN, MENGHANTAR KE KAMPUS DAN MENGHERET
BEG BESAR KE ASRAMA, KITA HANYA UCAPKAN SELAMAT JALAN
PADA IBU DI LUAR ASRAMA KERANA MALU DENGAN
KAWAN-KAWAN.

• BERUSIA 20 TAHUN, IBU BERTANYA SAMA ADA KITA ADA
TEMAN ISTEMEWA,KITA KATA, "? ITU BUKAN URUSAN IBU."

• SETELAH BERUSIA 21 TAHUN, IBU CUBA MEMBERIKAN
PANDANGAN MENGENAI KERJAYA, KITA KATA, "SAYA TAK MAHU
JADI SEPERTI IBU."

• APABILA BERUSIA 22-23 TAHUN, IBU MEMBELIKAN PERABOT
UNTUK RUMAH BUJANG KITA. DI BELAKANG IBU KITA KATAKAN
PADA KAWAN-KAWAN? . "PERABOT PILIHAN IBU AKU TAK
CANTIK, TAK BERKENAN AKUUU!"

• MENJELANG USIA 24 TAHUN, IBU BERTEMU DENGAN BAKAL
MENANTUNYA DAN BERTANYAKAN MENGENAI RANCANGAN MASA
DEPAN, KITA MENJELING DAN MERUNGUT, "IBUUU,
TOOOOOLONGLAHHH? ."

• KETIKA BERUSIA 25 TAHUN, IBU BERSUSAH PAYAH
MENANGGUNG PERBELANJAAN MAJLIS PERKAHWINAN KITA. IBU
MENANGIS DAN MEMBERITAHU BETAPA DIA SANGAT SAYANGKAN
KITA TAPI KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN
BERPINDAH JAUH.

• PADA USIA 30 TAHUN, IBU MENELEFON MEMBERI NASIHAT
DAN PETUA MENGENAI PENJAGAAN BAYI, KITA DENGAN MEGAH
BERKATA,"? ITU DULU, SEKARANG ZAMAN MODEN."

• KETIKA BERUSIA 40 TAHUN, IBU MENELEFON MENGINGATKAN
MENGENAI KENDURI-KENDARA DI KAMPUNG, KITA BERKATA,
"KAMI SIBUK, TAK ADA MASA NAK DATANG."

• APABILA BERUSIA 50 TAHUN, IBU JATUH SAKIT DAN
MEMINTA KITA MENJAGANYA, KITA BERCERITA MENGENAI
KESIBUKAN DAN KISAH-KISAH IBU BAPA YANG MENJADI BEBAN
KEPADA ANAK-ANAK.

• DAN KEMUDIAN SUATI HARI, KITA MENDAPAT BERITA IBU
MENINGGAL! KHABAR ITU BAGAIKAN PETIR! DALAM LELEHAN
AIR MATA, BARULAH SEGALA PERBUATAN KITA TERHADAP IBU
MENERPA SATU PERSATU.

JIKA IBU MASIH ADA, SAYANGI DIA. JIKA TELAH MENINGGAL,
INGATLAH KASIH DAN SAYANGNYA. SAYANGILAH IBU KERANA
KITA SEMUA HANYA ADA SEORANG IBU KANDUNG.

Siapakah Pemimpin Yang Diredhai Allah

Penulis mengadaptasi hasil tulisan Dr Danial Zainal Abidin. Memandangkan pilihanraya umum ke-12 bakal menjelang kurang dari 10 hari lagi. Penulis tidak mahu mempengaruhi mana-mana pihak... cumanya jika berkesempatan diharap dapat baca artikel di bawah dan pilih mengikut kata hati dan iman... semoga kita ditunjukkan jalan yang diredhaiNya... ameen...



SIAPAKAH PEMIMPIN YANG DIREDHAI ALLAH?



Dalam surah al-Hajj ayat 40-41, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya, sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”.



Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang ‘diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi’ berdasarkan kalimat ‘makkannaahum fil ardh’ dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’ . Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.



Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredai Allah? Secara dasarnya Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialah “mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar”.



Pemimpin Dan Solat



Seseorang pemimpin Muslim memerlukan bantuan dan pertolongan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik, dan penolong yang terbaik baginya ialah Allah. Justeru pemimpin Muslim perlu sentiasa mendekati Allah dengan beribadah kepadanya, dan ibadah yang paling penting ialah solat.



Seorang Muslim yang tidak melaksanakan solat tidak layak menjadi pemimpin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim nabi bersabda, “Sebaik-baik pemimpinmu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihimu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan mereka membencimu dan kamu mengutuk mereka dan mereka mengutukmu.’ Sahabat-sahabat pun berkata, ‘Bolehkah kami menentang mereka?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, selama mana mereka tetap menegakkan solat’.”



Hadis ini menunjukkan apabila seseorang pemimpin Muslim memperkecilkan solat, dia perlu turun dari jawatan kepimpinannya.



Pemimpin Dan Zakat



Hubungan yang baik dengan Allah perlu disusuli dengan hubungan yang baik sesama manusia. Dalam erti kata yang lain, seseorang pemimpin Muslim perlu berada di masjid untuk beribadah dan perlu juga berada di rumah rakyat untuk membantu mereka. Kebajikan rakyat tidak boleh diabaikan termasuk dalam aspek material dan kesenangan duniawi. Jika boleh kemiskinan dibasmi sepenuhnya dan semua rakyat hidup dalam keadaan senang lenang.



Antara contoh yang terbaik ialah pemerintahan khalifah Omar bin Abdul Aziz. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang bertakwa lagi adil. Pemerintahannya memakan masa 30 bulan. Dalam masa itu kemiskinan berjaya dibanteras dan rakyat ketika itu hidup dalam kemewahan. Berhubung dengan ini Yahya bin Said meriwayatkan, “Khalifah Omar Abdul Aziz mengutus aku untuk mengutip zakat di Afrika. Aku pun melaksanakan tugas ini dan kemudiannya aku pun mencari golongan fakir miskin untuk di berikan zakat namun golongan ini tidak aku temui. Sesungguhnya khalifah Omar Abdul Aziz telah menjadikan kami manusia yang kaya raya”.



Ibadah zakat yang disebutkan dalam surah al-Hajj ayat 41 menekankan tentang aspek ini. Kebajikan rakyat dalam aspek duniawi tidak boleh dipandang ringan.



Pemimpin Dan Amar Makruf Nahi Mungkar



Terdapat sebahagian pemimpin Muslim yang tidak melupakan solat dan zakat, tetapi mereka melupakan tanggungjawab untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkiran. Mereka juga tidak layak memimpin masyarakat. Berhubung dengan ini Imam Qartubi, dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, melaporkan perkataan Imam Sahl bin Abdullah yang bermaksud, “Mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran adalah wajib ke atas mereka yang berkuasa serta ulama”.



Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar. “Makruf” bermaksud “sesuatu yang baik mengikut pandangan syarak dan akal,” dan “mungkar” pula bermaksud “sesuatu yang berlawanan dengan makruf sebagai contoh, meninggalkan perkara yang difardukan serta kewajipan, ataupun melakukan perbuatan yang haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun besar”. Tafsiran ini disebutkan oleh Muhammad ibn Illan Al-Makki dalam Dalilul Falihin (Maktabah al-Halabi, Mesir; jilid 2)



Aspek ini amat dipentingkan oleh Islam sehinggakan, mengikut riwayat Muslim, Nabi mengizinkan penentangan dilakukan jika pemimpin melakukan ‘kufran bawaahan.’ Sahabat Abdullah bin Samit meriwayatkan, “Kami berbaiah (iaitu membuat perjanjian taat setia) agar tidak menentang kepimpinan melainkan jika berlaku ‘kufran bawaahan’ di mana di sisi Allah bukti-buktinya adalah amat jelas.” Imam Nawawi mentafsirkan ‘kufran bawaahan’ sebagai ‘maksiat yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang jelas bercanggah dengan kehendak agama Allah dan kaedah-kaedah Islam’. Hal ini dilaporkan dalam kitab Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (al-Matbaah al-Fikriah; juz. 12, 1924).



Justeru seseorang yang tidak menyeru kepada makruf dan pada ketika yang sama membiarkan serta menggalakkan perbuatan mungkar (dan yang lebih teruk lagi ialah dia sendiri terlibat melakukan kemungkaran itu), maka dia tidak layak menjadi pemimpin umat. Qadhi Iyad memfatwakan, “Apabila berlaku ke atas seseorang pemimpin tanda-tanda kekufuran, perbuatan mengubah syariat ataupun amalan bidaah, wajiblah dilucutkan kepimpinannya dan gugurlah ketaatan rakyat kepadanya. Ketika itu beliau hendaklah digantikan dengan seorang yang adil”. Fatwa ini dilaporkan dalam Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (al-Matbaah al-Fikriah; juz. 12, 1924).



Usaha untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ilmu. Justeru seseorang pemimpin Muslim wajib menguasai ilmu apatah lagi ilmu agama. Rata-ratanya kita sudah mengetahui bahawa ilmu yang diperlukan bukanlah semata-mata ilmu tentang tajwid, rukun solat, mandi wajib, wuduk, tayamum dan yang seumpamanya. Ia lebih dari itu.



Di samping itu beliau juga merupakan peribadi yang bersedia untuk terus belajar dan mendengar serta menghormati pandangan golongan ilmuwan terutamanya dalam bidang agama.



Berhati-hati Memilih Pemimpin



Ketika dalam perjalanan kita disuruh berhati-hati di jalan raya. Hadis-hadis pula menyuruh umatnya berhati-hati ketika memilih pasangan hidup serta kawan. Maka dalam konteks memilih pemimpin ia sudah pasti lebih dituntut lagi kerana isunya adalah lebih besar dan kesannya lebih meluas.



Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah berfirman, “Berkata Allah (kepada Ibrahim), ‘Sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu Imam (pemimpin) untuk manusia’. Berkata Ibrahim, ‘Dan juga dari keturunanku.’ (Berfirman Allah), ‘Janji-Ku tidak akan diberikan kepada mereka yang zalim’.”



Ayat ini menunjukkan pemimpin tidak boleh dilantik secara sembarangan. Sehubungan dengan ini Imam Qartubi dalam al-Jamik li Ahkamil Quran berkata, “Ayat ini (iaitu al-Baqarah ayat 124) merupakan dalil bagi satu jemaah ulama Islam bahawa pemimpin-pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia…..Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.





Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin Penulis 11 Buah Buku Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy Perunding Pelbagai Institusi & Syarikat

Tuesday, February 05, 2008

Merenung Kembali Diri...

Penulis tertarik dengan nukilan seorang sahabat yang agak lama tak jumpa... Sahabat yang penulis rindu sekali... sahabat yang sangat tabah... sahabat baik penulis ketika di Universiti dulu... Nadiyah Salleh... Semoga dia sentiasa di bawah lindungan Allah...



"Dalam kita melangkah terkadang diuji dgn ujian yg terasa berat hingga kita terduduk & menangis. Peritnya terasa... Tapi ketahuilah & renungilah kembali ke dalam diri kerana mungkin air mata tika itu hadir kerana DIA mahu kita menjahit kembali sejadah iman yg kian terkoyak lantaran ada langkah2 yg tersasar dari keikhlasan. Semoga kita tabah & ditetapkan iman..."

Wednesday, January 23, 2008

Latest Update

Lama juga penulis tidak mengúpdate'blog ni.. Agak sibuk terutama dari segi kerja... Tapi tidak mengapa, sudah tanggungjawab...

Dalam minggu ni penulis menghadiri khursus PHP, MySQL, dan AJAX.Hari ni cuti sepatutnya(Thaipusam) tapi khursus tetap perlu diteruskan. Untuk dapatkan ilmu perlu berkorban... ;) Tapi alhamdulillah mudah sikitla penulis untuk ke tempat kursus di Plaza Pantai, PJ. Tak 'jem', parking dekat LRT pun kosong....Syukur kepada Allah...

Nampaknya penulis semakin biasa dengan jalan di KL ni... hehehhehe... sedikit demi sedikit pengalaman mematangkan kita.... mengajar kita... dan pengalaman jugalah guru terbaik kita... Kalau nak bandingkan dulu.... penulis ni mana pernah keluar sorang-sorang... Drive pun pergi kerja n balik... nak melencong? Silap-silap sesat.... ehhehehheheh :P

Sebenarnya penulis tengah tunggu instructor memulakan khursus ni. Best khursus ni. Kami tiga orang(penulis, Sis Sarah, Br. Asmady) aje amik... Boleh tanya macam-macam...Instructor pun bagus...Br Shaizar dah lebih dari 20 tahun pengalaman dalam pembangunan perisian... alhamdulillah dapat berkongsi ilmu dengannya...

Apa yang penulis boleh katakan... khursus ni memang bagus... mudah untuk kita faham... Kalau ada error dekat source code, Br shaizar akan siap datang n carikan error tu...

Wah lamanyer penulis telah meninggalkan subjek programming.... bila menghadiri khursus ni... barulah dapat refresh balik...seronok sebenarnyer programming ni... dia membuatkan kita berfikir.... otak sentiasa berjalan....

Berkenaan dengan personal life pulak setakat ni semuanya berjalan lancar alhamdulillah... banyak perlu kita korbankan, kita timbang, kongsi selepas berkahwin. Kepada sahabat-sahabat yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi cuma satu pesanan penulis... Kita perlu banyak sekali bersabar... berlapang dada... berkorban...

Biasalah... banyak kita menerima... banyak jugalah perlu diberikan...dan satu lagi... selepas berkeluarga... kita perlu lebih matured, lebih berdikari...

Oklah.. Penulis rasa nak break dulu... ;) wasalam...

p.s.: Wendu dekat Programming :D