Syabas kepada Kerajaan Perpaduan Palestin
Oleh :
Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah
Naib Presiden ISMA
B.Engineering, B.A. (Al-Azhar), G.D. (Cairo)
012 - 659 0000 ust.halim@excite.com
Kita menarik nafas lega apabila akhirnya Parlimen Palestin kelmarin pada 17 Mac 2007 telah meluluskan usul percaya kepada Kerajaan Perpaduan Palestin yang baru dibentuk dibawah pimpinan Ismail Haniyeh sekali gus membuka lembaran baru dalam sejarah Palestin yang panjang dan penuh cabaran.Ismail Haniyeh & Mahmoud Abbas Kerajaan Baru terdiri dari 9 anggota dari HAMAS termasuk Perdana Menteri, Ismail Haniyeh, 6 dari FATAH termasuk Timbalan Perdana Menteri, 4 dari parti-parti lain dan 5 dari calum bebas yang menang dimana 3 darinya dicadang oleh HAMAS dan baki 2 dicadang oleh FATAH. Setiap cadangan mesti dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak HAMAS dan FATAH.
“Dan bertolong-tolonglah kamu dalam kebajikan dan takwa dan jangan kamu bertolong-tolong dalam dosa dan permusuhan” (Al-Ma’idah:2).
Sekiranya dilihat sekadar satu peristiwa, maka pembentukan Kerajaan Perpaduan Palestin 2007 adalah satu kejayaan menyatukan barisan umat Palestin, menghentikan persengketaan dalaman terutama antara gerakan HAMAS (yang baru menang Pilihanraya lalu) dan gerakan FATAH (yang memerintah sebelumnya tetapi tewas dalam Pilihanraya lalu) yang telah meragut nyawa lebih 140 orang Islam sendiri, tetapi jika dilihat peristiwa pembentukan Kerajaan Perpaduan Palestin ini sebagai salah satu noktah dalam sejarah Palestin, khususnya di dalam era Penjajahan Yahudi zaman ini, maka ia sebenarnya adalah satu kejayaan besar umat Islam dan satu tamparan hebat kepada rancangan dan strategi jahat Yahudi Zionis Israel yang dilaknat Allah ini terhadap umat Islam yang dilaksanakan melalui pengaruhnya ke atas Amerika, Eropah, Rusia, PBB dan banyak negara-negara yang lain.
Sebagai Penjajah ke atas bumi Islam Palestin, Yahudi Israel mesti berusaha memecahbelahkan umat Palestin yang dijajah supaya tidak dapat membina kekuatan penentangan melalui kesatuan dan persaudaraan. Oleh itu, Israel dan Amerika pada hari pertama kemenangan HAMAS dalam Pilihanraya Palestin 25 Januari 2006 setahun lalu memberi amaran kepada FATAH supaya tidak terlibat di dalam Kerajaan Palestin yang bakal diterajui oleh HAMAS. Saya sendiri melihat melalui Siaran Al-Jazeera, ucapan sulung Ketua Sayap Politik HAMAS, Khalid Masy’al mengajak semua parti-parti yang telah bertanding supaya datang bersama membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan dianggotai oleh semua parti dan calun-calun bebas yang menang. Pada HAMAS, Demokrasi bukanlah satu sistem dimana parti yang menang memijak kepala parti-parti yang kalah dan memonopoli kuasa dan berusaha mengekalkan kuasa ditangannya walau apa cara sekali pun. Akan tetapi Demokrasi adalah satu sistem yang menyusun kepimpinan umat dari masa ke
semasa melalui cabaran zaman berasaskan hujah yang jelas, perbincangan dan muafakat (syura), kebebasan diri dan memberi pandangan serta nasihat dan berkorban dalam memberi khidmat kepada masyarakat. Namun atas desakan Kuasa-kuasa Besar Dunia dan suasana kekalahan ketika itu, FATAH melalui kenyataan dan temuramah umum, menolak pelawaan HAMAS untuk bergabung dalam Kerajaan. Tanpa laluan perbincangan dan permuafakatan, suasana meruncing yang membawa kepada satu arus revolusi dalam FATAH di bawah Mohd Dahlan membuat huru hara bersenjata dalam negara disusuli tindakbalas oleh HAMAS dan pihak-pihak lain yang mengambil kesempatan mengakibatkan sehingga ke hari ini lebih 140 orang Islam terbunuh.
Namun, hari ini, pada 17 Mac 2007 selepas hampir setahun 2 bulan, terbukti perancanaan Israel dan Amerika tersebut gagal apabila FATAH telah datang kepangkuan HAMAS diikuti oleh parti-parti dan wakil-wakil rakyat bebas yang lain menyatukan barisan kepimpinan Palestin.
“Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya. Mereka berusaha membuat kerosakan di muka bumi. Allah tidak suka golongan perosak” (Al-Ma’idah:64).
Selepas Perjanjian Oslo pada tahun 1993, Israel dan Amerika membentuk Pihak Berkuasa (bukan Kerajaan) Palestin yang mereka namakan secara resmi “Palestinian Authority” semata-mata untuk bertindak secara diktator menekan dan menangkap rakyat Palestin sendiri ke arah menamatkan Gerakan-gerakan Penentangan terutamanya gerakan HAMAS yang sangat dihormati dan berpengaruh dikalangan rakyat Palestin kerana pendiriannya untuk membebaskan Palestin yang tegas, tetap dan tidak berubah-ubah. Hasrat Israel dan Amerika tidak lain selain wujudnya satu pihak berkuasa Palestin yang mewakili pihak Penjajah mengawal penentangan. Oleh itu fokus utama ialah isu “keselamatan” yang sebenarnya membawa maksud keselamatan Israel dalam terus menjajah Palestin dalam berdepan dengan usaha-usaha penentangan ke arah memerdekakan Palestin. HAMAS mengambil keputusan memulaukan Pilihanraya Parlimen pertama kerana tahu hasrat jahat pihak Penjajah dan sekutu-sekutunya.
Pada Israel dan Amerika, Perjanjian Oslo dan seumpamanya selepas itu merupakan pengiktirafan rakyat Palestin dan Arab kepada wujudnya sebuah negara yang dipanggil “Israel”. Apatah lagi jika pilihanraya nanti gerakan FATAH yang mengiktiraf dan memilih jalan damai yang akan memenanginya. Pada sudut yang lain pula mengadakan perlembagaan bagi rakyat Palestin, menubuhkan sistem Perundangan (Parlimen), Eksekutif (Kabinet) dan Kehakiman secara langsung adalah suatu bibit sebuah negara Palestin moden. Selepas kemenangan FATAH tanpa bertanding (HAMAS memboikot) dalam Pilihanraya Parlimen Pertama 1996, mereka persis menjalankan strategi Penjajah Israel dan Amerika dalam menekan, menangkap, berkongsi maklumat perisikan tentang kebangkitan rakyat Palestin dan sebagainya terhadap HAMAS dan rakyat Palestin. Dikatakan disetiap balai polis Pihak Berkuasa Palestin (Palestinian Authority) terdapat di sana pegawai FATAH, wakil CIA (Perisikan Amerika) dan wakil MOSSAD (Perisikan Israel). Saya
masih ingat ungkapan seorang Arab bahawa HAMAS lebih bebas dan mudah bergeral menentang Yahudi sebelum Pihak Berkuasa Palestin dibentuk berbanding dengan selepas ianya dibentuk. Memang lebih mudah berdepan dengan musuh yang berlainan bahasa, rupabentuk dan warna kulit berbanding sekiranya mereka mempunyai bahasa, bentuk dan warna kulit yang sama.
“Wahai orang-orang beriman, jangan kamu ambil orang luar (Ahlul Kitab) sebagai perujuk (teman kepercayaan). Mereka tidak henti-henti memudaratkan kamu. Mereka suka apa yang meyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka sedang apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih teruk lagi. Sungguh Kami telah terangkan ayat-ayat Kami supaya kamu faham. Kamu ni suka mereka sedang mereka tidak suka kamu. Kamu beriman dengan Kitab-kitab semuanya. Bila mereka jumpa kamu mereka kata, “Kami beriman (bersama kamu)”. Bila mereka bersendiri mereka (hingga) mengigit jari kerana benci kepada kamu ..” (Ali Imran:118-119).
Hari ini keadaan berbeza. Bahkan boleh kita simpulkan bahawa strategi jahat Israel dan Amerika dalam hal ini telah gagal. Sistem negara Palestin telah terbentuk dengan adanya sistem Perundangan (Pilihanraya), Eksekutif (Kabinet Menteri) dan Kehakiman. HAMAS telah merancang lama dan bertindak menyertai Pilihanraya Parlimen Kedua 2006 dan menang. HAMAS tidak mengiktiraf Israel yang menjajah bumi mereka dan teguh dengan prinsip Penentangan, bukan bersidang damai, dalam usaha menamatkan Penjajahan Yahudi ini. HAMAS yang menang tidak menekan FATAH dan badan-badan Islam yang lain, sebaliknya menghulurkan tangan mengajak kesemua golongan dan puak agar bersama mereka membentuk kepimpinan dalam negara atau yang dinamakan Kerajaan Perpaduan. Seruan ke arah kebebasan dan persaudaraan di sambut baik. Ancaman Kuasa-kuasa Besar berupa boikot bantuan sekiranya HAMAS atau Kerajaan Palestin mengiktiraf Israel tidak dihiraukan. Bahkan godaan dari Amerika berupa bantuan ratusan juta dollar
sekiranya Kerajaan pimpinan HAMAS mengiktiraf Israel tidak berjaya menambat hati dan menggoyangkan prinsip mereka. Di sini strategi Israel, Amerika dan Kuasa-kuasa Besar Dunia sekali lagi menemui kegagalan.
“Mereka merancang sesuatu terhadapnya, maka Allah menjadikan mereka yang rugi” (Al-Anbiyak:70). “Mereka merancang, sedang Allah (juga) merancang. Allah adalah sebaik-baik perancang” (Al-Anfaal:30).
Kita menyeru FATAH supaya berusaha ke pangkuan HAMAS dan saudara seIslam yang lain di Palestin dan menjauhkan diri dari mengikut telunjuk Israel, Amerika dan Barat. Walau nampak Barat kaya dan hebat tetapi iman dan jiwa umat Islam jauh lebih kuat dan teguh. Ini ternyata dengan kemenangan mereka memilih HAMAS menentang Israel dan menolak FATAH yang mengiktiraf Israel dan berdamai. Ternyata sokongan moral dan jutaan dollar dari Barat kepada FATAH selama ini dibanding dengan Iman yang teguh adalah lemah selemah sarang labah-labah.
“Perbandingan orang-orang yang mengambil selain Allah sebagai wali (perujuk) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang. Dan sungguh, rumah yang paling lemah adalah sarang labah-labah sekiranya mereka mengetahui” (Al-Ankabuut:41). Kenapa tidak mereka mengambil umat Islam sendiri sebagai perujuk dan orang tengah?
Akhirnya Raja Abdullah dari Saudi Arabia menjadi orang tengah perbincangan dan persepakatan di antara HAMAS yang diwakili Khalid Masy’al dan Ismail Haniyeh dengan FATAH yang diwakili oleh Mahmud Abbas yang akhirnya termeteri Perjanjian Mekah. Sudah sepatutnyalah Kerajaan Perpaduan yang disahkan oleh Parlimen Palestin pada 17 Mac 2007 lalu selepas ini didokong kuat oleh Raja Abdullah sendiri. Kalau begitu seharusnya pula Kerajaan Palestin yang baru ini disokong dan didokong oleh negara-negara Arab dan Islam, jika tidak negara-negara Barat keseluruhannya. Mesyuarat Menteri-menteri Luar Arab pada hujung bulan Mac ini merupakan peluang terbaik negara-negara Arab menyatakan pengiktirafan dan dokongan kepada Kerajaan Palestin. Dokongan ini nanti akan banyak merubah peta politik Arab dan antarabangsa kerana kekayaan minyak dan kedudukan geografi yang strategik akan membuat atau memaksa banyak negara mengiktiraf sama atau sekurang-kurangnya melumpuhkan Pemboikotan Antarabangsa
terhadap Palestin sejak lebih setahun lalu.
Namun, musuh-musuh Islam terus tidak berdiam diri. Amerika memanggil empat buah negara Arab berpengaruh iaitu Mesir, Saudi Arabia, Emirate dan Jordan untuk duduk berbincang berkenaan dengan perkembangan di Palestin yang menakutkan mereka sebelum Menteri-menteri Luar Arab bersidang hujung bulan Mac ini. Menteri Luar Amerika, Condolezza Rice akan datang ke Negara Arab untuk bertemu mereka pada hari Sabtu ini. Sejauh mana Amerika dapat memecahkan kesatuan dokongan Arab terhadap Kerajaan Palestin pada hari Sabtu ini akan kita saksikan nanti. Ini sangat bergantung kepada sekuat mana keimanan pimpinan Arab kepada kekuasaan Allah swr sehingga tidak takut kepada ancaman Kuasa Besar Dunia Amerika, seutuh mana persaudaraan sesama Islam dan kefahaman mereka terhadap bahaya musuh dan kepentingan membawa Risalah Islam terus menerus walau berhadapan dengan berbagai rintangan.
Kita menyatakan sokongan padu kepada Kerajaan Perpaduan Palestin yang baru dibentuk dan menyeru umat dan negara Islam khususnya Malaysia segera mengiktiraf, mendokong dan membantu dengan kewangan dan moral. Sesungguhnya umat yang sedang dijajah kejam sudah tentu tidak mampu membangkitkan ekonomi dengan baik sebaliknya berharap belas dan bantuan luar dari saudara seIslam terutama negara-negara yang Allah anygerah minyak dan kekayaan. Semoga dengan dokongan ini, hasrat membebaskan Palestin dan Masjid Al-Aqsa akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat, insyaallah.
No comments:
Post a Comment