Wednesday, December 13, 2006

'Kemenangan semua wanita Muslim’

Penulis berbangga dengan pencapaian Ruqaya. Dia telah membuktikan bahawa memakai hijab bukan penghalang untuk berjaya di dalam sukan. Syabas Ruqaya !!
__________________________________________________________
Ruqaya buktikan memakai tudung bukan masalah untuk berjaya dalam sukan

PADA zaman wanita Muslim kian mendapat perhatian kerana memakai tudung penutup kepala, pelari Bahrain, Ruqaya al-Ghasara membuktikan hijab bukan penghalang untuk memecut di trek.

Ruqaya yang memenangi gangsa acara 100m Sabtu lalu selepas melakukan pelepasan semula, memastikan emas Sukan Asia acara 200m kelmarin, mencipta larian hebat di 10 meter terakhir bagi menamatkan saingan dengan catatan 23.19 saat.

Penonton di Stadium Al-Khalifa bergema ketika Ruqaya bergerak ke garisan, kepala terhangguk-hangguk ketika dia memerah setiap inci kudratnya daripada berat badan 65kg untuk memenangi perlumbaan berkenaan.

Sebagai seorang Muslim yang patuh, dia segera sujud di trek selepas melepasi garisan dan menyentuh bibirnya sebelum kembali ke trek, memakai hijab putih yang menjadi tanda kehadirannya – menampakkan tanda jenama barangan sukan Amerika Syarikat – yang diikat kukuh dengan pin dibawah dagunya bagi perlumbaan itu.

Kaki dan tangannya juga ditutup sepenuhnya dengan pakaian berwarna merah dan putih Bahrain selain singlet di bahagian atas badannya.

“Syukur kepada Allah saya menang,” kata pelajar berusia 24 tahun itu, yang tidak seperti atlit import lain dalam pasukan olahraga Bahrain yang sebenarnya berasal dari Negara Teluk yang lain.

“Saya memang berhak menang emas acara 200m. Saya adalah yang terkuat dan terbaik,” kata Ruqaya sambil menambah dia tidak bermasalah memakai penutup kepala.

“Saya memiliki keinginan hebat untuk menunjukkan tiada masalah apabila memakai pakaian seperti ini,” katanya.

Saya mahu katakan saya amat bertuah kerana menjadi seorang Muslim – ia satu rahmat. Memakai pakaian konservatif memberi galakan kepada saya. Memakai hijab membuktikan wanita Muslim tidak berdepan halangan dan menggalakkan mereka untuk menyertai sukan.

Ini adalah kemenangan buat semua wanita Muslim.

“Saya menasihatkan semua wanita Muslim untuk menyertai sukan. Ia amat bagus untuk kesihatan dan negara anda."

Ruqaya yang dilatih oleh jurulatih Algeria, Nooruddin Tajin, berkata emas Sukan Asia miliknya adalah kemenangan terbesar sepanjang kariernya.

Dia memenangi tiga perak dalam acara 60m, 200m dan 400m Kejohanan Dalam Dewan Asia di Tehran pada 2004, dan berlari dalam dua acara pada Kejohanan Pan-Arab di Amman setahun sebelumnya.

“Harap-harap saya akan dapat memenangi sesuatu pada Kejohanan Dunia di Osaka, tahun depan,” katanya. – AFP