Thursday, November 12, 2009

Program Menarik di TV9 Minggu ni!!

Dalam post yang lepas penulis ada mengsyorkan sebuah buku bertajuk "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman" karangan Prof. Mohd Kamil Ibrahim.

Kelmarin penulis berpeluang melihat sendiri Prof ini dalam rancangan Mukaddimah di tv9 jam 7.30 pagi. Sebenarnya dah dua hari berturut-turut Prof ini menjadi tetamu Mukaddimah sejak hari Rabu dan hari ini (Khamis, 12/11/2009). Penulis tak pasti hari Isnin dan Selasa juga Prof menjadi tetamu rancangan tersebut atau tidak. Prof. mengulas sendiri pengalamannya di tanah suci secara langsung. Amat menyentuh hati sekali. Penulis tak pasti samada sampai hari apa Prof akan bersiaran di dalam rancangan tersebut tapi kita semua boleh cuba tengok kot-kot ada.

Jumaat, Sabtu dan Ahad ni pulak (13-15/11/2009) ada Ustaz Zahazan dalam rancangan Tanyalah Ustaz pukul 7.00 pagi dan juga Halaqah, 9.30 malam Ahad ni di TV9. Ustaz Zahazan merupakan di antara ustaz kegemaran penulis kerana penerangannya cukup jelas. Beliau mampu menjawab soalan-soalan secara spontan dengan disertakan nas-nas dari al-Quran/Hadis serta dinukilkan dari buku-buku muktabar yang jelas menampakkan beliau seorang yang amat banyak membaca dan mencari ilmu.

Jadi moh kite nengok same-same ;) (Alamak terkeluor bahasa Perak :P)

Chow Chin Chow...Wasalam

Thursday, October 29, 2009

Ketenangan Dalam Kesederhanaan...

Sudah agak lama tajuk post ini bermain dalam fikiran penulis. Namun ianya tidak diterjemahkan dalam bentuk penulisan. Penulisan santai yang datangnya dari hati. Hati seorang manusia biasa... yang ada kalanya gembira, ada kalanya sedih, ada masanya gelisah dan takut... dan pada ketika lainnya tenang...

Ketenangan....

Satu perkataan yang amat besar maknanya. Mungkin bukan bagi orang lain, tapi bagi penulis... Sukar diungkap dengan kata-kata apakah erti ketenangan... Tenang bukan bermakna kita sentiasa gembira dan ketawa. Tapi tenang dalam setiap keadaan... gembira mahupun duka... Tenang biar tak semewah mana... Tenang walau jarang dipuji manusia... Tenang walau tak dipandang tinggi... Tenang walau ada masalah dihadapi... tenang yang penulis simpulkan dalam tajuk post kali ini... Tenang dalam kesederhanaan...

Penulis tak pandai untuk menaksir atau mengulas sehebat penulis-penulis blog yang ada. Cuma secara ringkasnya, ketenangan itu suatu kenikmatan... yang bukan semua orang dapat...Ia tidak mampu dibeli dengan wang ringgit...

Berapa ramai jutawan yang hidupnya tak pernah tenang... Kita sering kali stress dengan kerja, stress untuk mendapat tender, stress kehilangan harta benda, stress jika tak dipandang mulia, stress kerana penyakit yang dihidapi... Stress untuk jadi lebih kaya... Stress untuk dapat segalanya... Stress untuk memenuhi kehendak semua orang.... stress...stress dan stress...

Kadang-kadang penulis terfikir. Kita selalu stress dengan benda-benda yang bakal kita tinggalkan... untuk hidup yang sementara ini...

Di barat sendiri berapa ramai mereka yang kaya raya dan punya segalanya namun akhirnya dijumpai mati membunuh diri...Apa yang kita kejar sebenarnya? Apa yang kita mahukan dalam hidup ini?

Dalam kehidupan ini penulis dapat saksikan betapa hinanya seseorang itu bila tiada wang. Wang adalah segalanya di dunia ini.. Segalanya....

Contoh banyak sekali di depan mata. Bila seseorang tu tak punya wang, bila kita bercakap dengan dia pun acuh tak acuh sahaja. Layanan pun ala kadar. Sebab apa? Sebab dia tak punya pengaruh, dia takda duit yang banyak untuk hulur dekat kita. Kalau dia terasa hati sekalipun tiada apa yang akan menjejaskan kita... Dia tak punya kuasa untuk "contact" kawan-kawan di jabatan lain untuk tukar kita 24jam. Dia tak akan memudaratkan kita. Jadi buat apa layan dengan baik? Ini bukan disengajakan. Tapi memang dari dulu lagi persekitaran kita begitu. Kita membesar dengan cara itu.

Tapi bila penulis duduk seorang diri merenung kembali orang-orang miskin ini. Hati mudah tersentuh. Kadang-kadang mereka yang kita rasa amat hina inilah calon-calon ahli syurga... Hina di sisi kita tapi mulia di sisiNya... Allahuakbar... Mungkin mereka tak punya harta berjuta namun kita tengok hidupnya tenang... Rezekinya berkat...Kita sendiri kadang-kadang hairan macamana tok nenek kita di kampung bukan mewah pun. Buat sawah bendang sahaja. Tapi pergi haji dan umrah dah 3-4 kali. Bandingkan dengan kita yang makan gaji ni. Gaji dalam 3-4 ribu sebulan atau lebih, tapi haji tak pernah walau sekali. Sukar benar untuk ditafsir...

Semalam pak long penulis telah kembali ke rahmatullah... Al-fatihah buatnya...

Penulis pernah berbincang dengan suami tentang mereka yang telah dijemput Allah pasti semuanya akan menyesal... Mengapa? mereka yang baik pasti menyesal kerana tak jadi lebih baik untuk mendapat darjat yang lebih tinggi di sisi Allah. Manakala mereka yang 'kufur' juga sudah pastinya menyesal kerana tak mampu untuk menghuni syurga Allah dan terpaksa menempuh azab yang maha hebat... nauzubillah... Suami mengiakan dan mengatakan sememangnya di dalam Quran sendiri Allah dah nyatakan semua tu...

Hm... Tapi walau pun kita dah tau... namun kenapa yer kita masih lalai? Seolah-olah kita akan hidup selamanya... tiada kematian menunggu... Tiada azab dan seksa kubur. Tiada ganjaran syurga. Hm... persoalan yang penulis sendiri tak mampu menjawab kerana terlalu banyaknya kelemahan diri...

Apa sebenarnya yang kita cari di dunia ini? Satu persoalan yang hanya " sendiri boleh jawab".

P.S: Mungkin ramai yang tak dapat nak kaitkan ketenangan, keberkatan dan kesederhanaan yang cuma penulis sampaikan dalam penulisan ini. Tidak mengapa... hanya sekadar mengingatkan diri yang lemah dah hina...

Buku Menarik...

Aduh... lama benar penulis tak mengemaskini blog ni... Agak sibuk sikit... ( yeke??)Syawal pun dah berlalu... Sekarang dah masuk musim Haji... Ish seronok betul bila tengok dalam TV. Jemaah haji berpusu-pusu datang ke Mekah dengan satu niat iaitu untuk menghambakan diri kepada Yang Maha Gagah... Yang Maha Pencipta... Yang Maha Pengasih... Yang Maha Bijaksana... Yang Maha Agung... Allah Tuhan Rabbol'aalamiin...

Tahniah dan penulis tumpang gembira kepada semua jemaah haji kerana dalam billion rakyat dunia, tahun ni anda di jemput Raja segala Raja untuk datang ke rumahnya... untuk menjadi tetamunya... jadi peluang terbuka untuk anda menjadi tetamu yang paling istimewa di sisinya...

Penulis teringat buku yang penulis baca beberapa bulan lalu. Buku bertajuk "Travelog Haji - Mengubah Sempadan Iman" karangan Prof. Mohd Kamil Ibrahim, seorang professor di Fakulti Perakaunan, UiTM Shah Alam.


Buku yang penulis amat-amat syorkan semua untuk membacanya . Ia mengisahkan pengalaman seorang professor yang pada awalnya buta al-Quran tetapi apabila nur hidayah datang, dia berubah dari zaman kegelapan kepada cahaya yang penuh sinar...

Hidayah boleh datang dalam banyak cara. Cuma kadang-kadang kita perlu sedikit usaha untuk merebutnya. Itulah Allah yang Maha Penyayang. Dia boleh menaikkan darjat seseorang dalam sekelip mata. Dia boleh menjadikan seseorang rindu sekali padanya dalam sekelip mata... Dia juga mampu membuat sepasang mata menangis teresak-esak hanya kerana teringat padaNya... Agung benar kuasaMu ya Allah...

Keseluruhan buku ini digarap dengan baik sekali. Di antara bab yang amat menyentuh hati penulis adalah bab yang menceritakan bahawa kita semua mempunyai peluang untuk menjadi "malaikat" di Masjidil Haram. Nak tahu bagaimana caranya? Kenalah baca :)Penulis pun kadang-kadang tak terfikir....

Buku ini akan membuatkan anda tersentuh jika benar-benar didalami. Dengan menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas, ia sesuai dibaca oleh segenap lapisan usia. Bagus juga jika dijadikan hadiah buat yang tersayang...

LabaikAllahummalabaik....Kami datang kepadaMu Ya Allah...Wasalam

Sunday, September 13, 2009

Nasyeed Pilihan Minggu Ini

Penulis tertarik dengan lagu tema Jejak Rasul 2009. Jadi apa lagi, nak menempek la videonya di sini. Sekadar berkongsi. Nasyid yang sangat menenangkan. Tentang asma ul husna... Semoga ada manfaat...

Asma Allah
By: Sami Yusuf


Thursday, September 03, 2009

Tamparan Buat Si Muda

Semalam penulis berkesempatan bersolat terawikh di salah sebuah masjid di Sungai Dua. Masa penulis tiba, masih tidak begitu ramai jemaah tapi alhamdulillah nak dekat Isyak masjid semakin penuh (walaupun tak sepenuh pada hari pertama Ramadhan).

Penulis terus ke tempat solat wanita sambil mencari-cari ruang untuk menunaikan solat. Mata penulis menangkap ruang lapang di sebelah seorang nenek (penulis agak dalam lingkungan umur 70-85 tahun) yang duduk di saf pertama namun masih kosong. Penulis bersalam dengan nenek itu dan seterusnya mengikut imam bersolat.

Tiada apa yang istimewa atau ganjil berlaku sebenarnya malam itu. Segalanya berjalan lancar seperti malam-malam lain. Namun hati penulis seolah-olah disentuh oleh kehadiran nenek di sebelah penulis ini.

Tamparan buat penulis (yang baru pertengahan 20an ini). Tamparan dan teguran halus yang terus ke hati ini. Ada beberapa perkara yang telah membuatkan penulis malu sekali dengannya... yang telah uzur... yang telah sakit lutut... yang telah kurang ingatannya...

Pertamanya, nenek ini tiba awal ke masjid. Semasa penulis sampai, dia telah duduk di saf pertama. Mukanya kedut seribu begitu juga dengan tangannya. Namun, terawikh masih mampu habis 20 rakaat. Walhal masa rakaat ke-8 ramai anak muda sudah keluar (kadang-kadang termasuklah penulis ni jugak :( ). Nenek ni tanya penulis, "Eh awat ghamai sangat orang pakat balik?". Penulis cakap "Dah 8 rakaat dah tok ". Dia hanya senyum..

Di rakaat ke-10, nenek itu menguit paha penulis. Dia tanya"Bukan tadi tok imam buat 3 rakaat ka?" Penulis jawab" Tak tok, dua rakaat... ".

Di rakaat ke 14 ku lihat nenek ni baru hendak membetulkan kakinya (mungkin lenguh) tapi imam telah mengangkat takbir... Dia dengan nada seloroh berkata kepadaku.." Tok imam dah angkat takbir dah..." Aku hanya tersenyum...

Pada rakaat ke 20 dia bertanya lagi " Dah berapa rakaat ni?" lalu ku balas dengan mengatakan telah habis terawikh cuma tinggal witir 3 rakaat. Dia kata" Tok bukan ingat sangat dah..." " Tak pa..." jawabku ringkas. Dalam hatiku sayu benar dengan jawapannya. Walau telah kurang ingatan namun semangat dan cerminan imannya.... Allahuakbar....

Sebelum rakaat akhir witir nenek tadi bertanya lagi " Ni satu rakaat ni niat witir na?". " Haah tok, 1 rakaat lagi witir". Sebelum keluar masjid, penulis bersalam dengan nenek itu dan dia memperkenalkan anak saudaranya. Rupanya nenek ini datang bersama anak saudaranya malam itu.

Itulah dia. Nenek di masjid al-Falah. Bukan cerita menarik bagi sesetengah orang. Tapi ia merentap jiwa penulis untuk kembali memuhasabah diri ini. Diri yang masih kuat, kudrat yang masih bertenaga, ingatan yang masih segar, lutut yang tidak lenguh, kereta yang boleh membawa ke masjid, suami yang boleh meneman ke masjid. Namun kadang-kadang tewas juga. Tewas dengan tipu daya nafsu... Tewas dengan kemalasan dan keletihan yang hanya alasan yang dibuat-buat untuk menutup kelemahan diri....

Lemahnya diri ini di sisiMu ya Allah...



Monday, August 31, 2009

Salam Ramadhan al-Mubarak



"Jika hamba-hamba Allah itu mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadhan, sudah pasti mereka mengharapkan sepanjang tahun itu adalah Ramadhan"
(Hadis riwayat Ibnu Abbas)
Selamat menyambut Ramadhan yang mulia ini. Semoga kita semua dilimpahi cahaya ma'firahNya sentiasa... Ameen..
Marhaban ya Ramadhan...

Tuesday, August 18, 2009

Nasik Daging ku


Semalam penulis buat Nasik Daging. Ni kegemaran suami. Alhamdulillah suami cakap sedap... Penulis dapat resipi ni dari MyResipi. Cumanya penulis tak bubuh tomato sup tapi gantikan dengan tomato biji (potong 6). Memang senang dan penulis bagi 4 bintang untuk resipi ni. Credits to Salwahcm ;). Kalau sahabat-sahabat ada masa terluang, boleh cuba masuk web ni. Banyak resipi yang best-best. Kebanyakan resipi pun memang menjadi. Nilah dia hasil Nasik Daging nyer... Penulis makan dengan dalca campur, rendang besar dan juga air asam... Aduh lapar la pulak... :P


Nasi Daging



Nasi Daging bersama lauk



P.S: Selamat mencuba..

Thursday, August 13, 2009

Amalan Semasa Wabak

Penulis baru dapat panggilan telefon dari mak. Mak penulis telah berkongsi ayat Quran untuk dijadikan amalan terutamanya semasa wabak Selsema Babi sedang menular sekarang. Mak penulis dapat dari ustaz yang mengajar di madrasah berhampiran.


Hanya Allah sahaja yang dapat melindungi kita...

Amalkan membaca surah al-Mukminun:115-118. Boleh dibaca begitu sahaja atau dibaca pada air...

Sahabat-sahabat juga boleh niat supaya dijauhkan dari segala penyakit semasa memasukkan air ke dalam hidung semasa berwudhuk. Wallahua'lam..

Semoga ada manfaat.

Saat Ajal Mengintai di Jendela...




Pergi Tak Kembali (Rabbani)


Kelmarin (11 Ogos 2009) penulis dikejutkan dengan pemergian salah seorang sahabat penulis ke rahmatullah. Kak Noorhasmah Nordin merupakan salah seorang daripada sahabat kumpulan belajar penulis semasa di USM dulu. Beliau disahkan meninggal dunia lebih kurang pukul 8.00 pagi. Lama penulis tak dengar khabar dari kak Has... Dengar-dengar dah meninggal... Tulah kematian... Kak Has cuma tua setahun dari penulis. Dulu dia selalu layan penulis dan dua orang sahabat rapat lain macam adik sendiri. Kami pun memang manja dengan dia... Maklumla dalam 4 orang tu dia yang senior. Kalau ada masalah apa-apa dialah yang akan kami rujuk... Namun kini semuanya hanya kenangan...


Tahun 2008, 2009 ni banyak orang yang rapat dan penulis kenal pergi... Mula sekali ayah, lepas tu Asmady (sahabat di UIA), Mohd Fuad (Sahabat suami), Kak Has (sahabat USM) dan terbaru hari ini Asri Rabbani... Satu per satu pergi tanpa dapat kembali lagi...

Di bawah ni penulis ambil petikan dari tulisan Ahmad Lutfi Othman yang amat menyentuh hati :

Apa perasaan anda jika tiba-tiba diberitahu menghidap penyakit kronik, yang selalunya – berdasarkan pengalaman pesakit serupa – tidak mempunyai peluang untuk hidup lebih lama?

Atau mungkin anda dapat terus menghirup udara segar, namun sudah tidak berupaya bebas bergerak, segalanya perlu dipapah dan bantu, dan hanya terlantar menanti keajaiban untuk sembuh. Allah Maha Mengetahui akhiran hidup kita.

Perhatikan sekeliling kita. Tidak perlu pergi jauh untuk mencari contoh. Berapa ramai anggota keluarga dan kenalan rapat pergi buat selamanya tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.

Ada teman baik yang nampak sihat, segar bugar, tiba-tiba kita mendapat khabar meninggal dunia ketika tidur.

Ada saudara-mara yang baru bertemu pada hari lebaran lalu, di hening malam kita dikejutkan panggilan telefon memaklumkan diserang angin ahmar, terus koma hingga dijemput Ilahi.

Tuhan....terimakasih kerana masih menaruh belas meminjamkan nafas ini

Ada rakan sekerja, belum pun mencecah usia 30 tahun, berpotensi hebat dalam kerjaya, hanya mengadu sakit sekitar matanya, bila diperiksa doktor, masya-Allah, rupanya tanpa disedari sudah lama kanser bersarang. Tidak sampai dua minggu selepas itu, ajalnya tiba. Itu belum dihitung kes-kes kemalangan maut yang menyambar tanpa sebarang amaran awal.

Sememangnya kita dituntut agar sentiasa bersedia, membuat persiapan secukupnya, bagi menghadapi maut. “Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa; dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal.”(maksud al-Baqarah: 197)

Saidina Ali r.a. ketika ditanya tentang taqwa menjawab: ” Taqwa adalah takut kepada Allah Yang Maha Agung, melaksanakan segala perintah yang diturunkan, reda dengan nikmat yang ada meskipun sedikit dan sentiasa dalam keadaan siap sedia menghadapi maut sebelum kedatangannya.”

Soalnya, berapa ramai yang mengambil pengajaran dan iktibar daripada terkaman maut, kecuali dalam tempoh masa yang begitu singkat, untuk kemudiannya melupakan, hinggalah dikejutkan kembali dengan tragedi seterusnya. Ya, sesungguhnya, insan memang mudah alpa dan banyak pula dalehnya.

Benar, sakit merupakan nikmat, mengingatkan yang lupa, menyedarkan yang leka, dan juga satu “cara” untuk meningkatkan martabat seseorang jika setulusnya reda dengan ujian Tuhan itu.

Berapa ramai orang yang disuntik kesedaran mendalam, keinsafan seikhlasnya, hanya setelah melalui sakit dan derita berpanjangan. Tidak kurang yang mengucap syukur kerana nyawa tidak direntap dengan tiba-tiba, tetapi didahului peringatan sakit, membuatkan kita sempat bertaubat, sehingga mampu merencana hidup baru dengan usia yang berbaki.

Dengan begitu banyak peristiwa yang hadir di kiri kanan, mengapa terlalu sukar untuk rasa insaf merubah gaya hidup kita? Mengapa hati ini terlalu keras untuk memerhatikan kejadian dan gerak alam untuk kita mengambil manfaat daripadanya, sebelum segalanya sudah terlambat apabila roh tercabut dari jasad?

Perhatikan jejak usia yang ditinggalkan. Memang pantas sekali ia beredar. 40 tahun berlalu seolah-olah baru semalam dilepaskan. Masih terbayang-bayang zaman kanak-kanak di kampung.

Lintasan ingatan kian segar di bangku sekolah, guru-guru yang mendidik, kawan-kawan sepermainan, ibu ayah yang menyayangi, nenek dan datuk yang mengambil berat. Satu demi satu adegan kehidupan pahit-manis bersilih ganti.

Dan kerdilnya diri mengenangkan dosa dan maksiat, sambil membilang sekelumit jasa yang ditinggalkan, ya … alangkah kecilnya.

Menginjak dewasa, kesibukan berkeluarga dan berkerjaya sering menjadi hambatan. Banyak yang dikejar umpama fatamorgana, dan kegelisahan menggapai cita-cita sukar diredakan. Segalanya seperti tidak mencukupi.

Dalam keadaan itu, jika kita dapat berhenti sejenak, dan sempat bermuhasabah tentang erti hidup yang makin hilang, mungkin ia seperti satu kurniaan nikmat yang begitu hebat.

Ramai yang bergelut hanya mencari kehidupan untuk diri sendiri. Amat kecil sumbangan untuk orang lain. Walhal sebahagian kebahagiaan adalah apabila kita dapat membahagiakan orang lain, apatah lagi mereka yang memusuhi kita.

Ingatlah, janji dengan Allah masih banyak belum tertunai. Dosa dengan makhlukNya tidak tertebus. Sedang malaikat maut mungkin sedang mengintai di jendela. Lalu, apa jawab nurani anda jika mengetahui derap langkah kita di dunia ini menghadapi penghujungnya.

Saturday, August 08, 2009

Sebuah Pertemuan

Khas buat suami tersayang...